ARTIKEL

Kredit: Facebook Malaysian Palm Oil Board - MPOB | Bernama

Malaysia digesa pelbagaikan pasaran minyak sawit susulan isu tarif AS — MPOB

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Malaysia digesa agar mempelbagaikan pasaran minyak sawitnya bagi mengurangkan kebergantungan kepada destinasi import tunggal komoditi itu berikutan isu tarif yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat (AS).

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata tarif 24 peratus yang dikenakan oleh AS ke atas eksport minyak sawit Malaysia menimbulkan cabaran besar kepada industri, yang berpotensi menjejaskan volum eksport negara dan mata pencarian banyak pihak berkepentingan.​

“Meskipun tarif akan menyebabkan penurunan eksport minyak sawit ke AS, kesan negatif akan lebih ketara menimpa negara pengimport berikutan alternatif yang terhad kepada minyak sawit.

“Minyak sawit yang digunakan dalam industri di AS bukan mudah digantikan dengan minyak lain, dan peningkatan kos pada akhirnya akan menjejaskan pengguna di AS,” katanya ketika merasmikan mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) 2025 semalam.

Mohamad Helmy berkata kerajaan tetap teguh dalam komitmennya untuk mempertahankan kepentingan industri minyak sawit Malaysia daripada halangan perdagangan tersebut.

Ini termasuk meneroka semua peluang, termasuk penglibatan diplomatik dan memanfaatkan perjanjian perdagangan antarabangsa untuk mengurangkan kesan tarif dan memastikan pertumbuhan yang berterusan serta kemampanan sektor minyak sawit.

Selain itu, kerajaan, melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang giat bekerjasama dengan rakan sejawat ASEAN untuk merumuskan tindak balas serantau yang diselaraskan.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan perpaduan ASEAN dalam menangani halangan perdagangan ini dan keperluan untuk rantaian bekalan terbuka serta tindakan yang kolektif.

Mengenai mesyuarat PAC 2025, Mohamad Helmy berkata MPOB telah mempergiatkan usaha agenda penyelidikannya dengan bidang tumpuan teknologi dan sosioekonomi yang baharu, mencerminkan komitmennya untuk menangani dimensi ekonomi dan sosial yang lebih luas dalam pembangunan industri kelapa sawit, melengkapkan penyelidikan teknikal dan saintifiknya yang sedia ada.

Antara perkara kritikal yang turut perlu ditangani oleh ahli PAC semasa perbincangan itu ialah kebimbangan industri terhadap peningkatan hasil.

“Walaupun pengeluaran minyak sawit meningkat sejak beberapa tahun, hasil masih tidak berubah.

“Menjelang Disember 2024, kira-kira 9.3 peratus atau 520,067 hektar pokok kelapa sawit Malaysia berusia lebih 25 tahun,” katanya.

Justeru itu, beliau berpendapat sudah tiba masanya industri itu melaksanakan penggunaan peralatan bioteknologi, pembiakan dan pengklonan termaju bagi meningkatkan hasil.

Beliau menegaskan bahawa implikasi kesihatan hidrokarbon tepu minyak mineral dan hidrokarbon aromatik minyak mineral dalam produk makanan masih diperdebatkan hari ini, dan sehingga kini, Malaysia telah mengalami tiga insiden konsainan minyak sawit ditolak untuk masuk ke dua negara Eropah.

“Memandangkan kebanyakan minyak sawit digunakan dalam pengeluaran makanan, terdapat keperluan mendesak untuk memerangi kelaziman hidrokarbon minyak mineral dalam rantaian nilai minyak sawit, khususnya di premis pemprosesan minyak sawit,” katanya.

Mesyuarat PAC tahunan selama empat hari itu melibatkan ahli PAC yang terdiri daripada pihak berkepentingan industri, pakar akademik serta pakar daripada institusi tempatan dan antarabangsa. — Bernama

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU