NEW YORK: Malaysia telah diminta oleh beberapa negara untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi Bersama Kumpulan The Hague bersama Afrika Selatan bagi menyelaraskan tindakan terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan bahawa permintaan tersebut dibuat susulan pendirian tegas Malaysia dalam pelbagai platform antarabangsa berhubung isu pelanggaran undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan.
Beliau menjelaskan bahawa perkara tersebut masih memerlukan persetujuan Kabinet serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Kumpulan The Hague yang ditubuhkan pada 31 Januari 2025 berfungsi sebagai platform diplomatik dan undang-undang bagi negara-negara yang sepemikiran untuk mempertahankan undang-undang antarabangsa serta isu Palestin.
Mohamad menambah bahawa penyertaan dalam kumpulan tersebut serta platform lain seperti G77 dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) membolehkan Malaysia mengukuhkan pengaruh dan pendiriannya di peringkat global seperti dilapor Bernama.



