BUSAN: Malaysia berminat mempelajari pengalaman Republik Korea dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui, khususnya turbin angin luar pesisir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, di Malaysia, kerajaan akan membina lebih banyak loji tenaga yang memerlukan turbin.
“Pada masa ini, mendapatkan bekalan turbin agak mencabar.
“Sehubungan itu, kita berharap Doosan dapat terlibat dan membantu mempercepatkan pembinaan loji tenaga di Malaysia.
“Ini memandangkan Malaysia komited untuk meneroka kerjasama serantau bagi memenuhi keperluan tambahan tenaga sebanyak 8,000 megawatt menjelang 2030,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi, hari ini.
Beliau terdahulu mengadakan lawatan ke Syarikat Doosan Enerbility di Busan, Republik Korea.
Doosan Enerbility merupakan syarikat terkemuka Korea yang mengeluarkan turbin gas, wap dan nuklear serta mengeksport teknologi ke pelbagai negara termasuk Arab Saudi dan Republik Czech.
Lawatan kerja ke Syarikat Doosan Enerbility di Busan bertujuan menilai kemampuan dan kepakaran Korea dalam pembuatan turbin, selain membincangkan peluang kerjasama bagi menyokong keperluan tenaga Malaysia.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menambah, selain tenaga boleh diperbaharui, Malaysia juga melihat potensi kerjasama dengan Korea dalam bidang teknologi nuklear, pembangunan modal insan, pemindahan teknologi serta aspek keselamatan tenaga.
“Justeru, kita berharap agar memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan Korea dapat dimeterai seawal Oktober atau November ini, insya-Allah,” ujarnya.
Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Zamruni Khalid, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Mareena Mahpudz, turut hadir sama.


