PUTRAJAYA: Malaysia memerlukan pemimpin mempunyai visi dan prihatin terhadap masalah rakyat, termasuk golongan berpendapatan rendah serta pekerja bawahan yang menyumbang kepada pembangunan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pemimpin perlu memahami nasib rakyat, termasuk pesawah padi, pemandu teksi, petani dan nelayan, selain mengambil berat tentang keperluan persekolahan anak-anak, kebajikan mahasiswa serta kecukupan gaji penjawat awam berpendapatan rendah.
“Negara ini perlukan pimpinan yang betul-betul laksana (visi) yang dibawa. (Bukan) yang cakap banyak, cakap pandai, tetapi yang tahu, apa nasib pemandu teksi, apa nasib petani, apa nasib nelayan, bagaimana anak sekolah, beli buku, bagaimana mahasiswa cukup makan atau tidak?
“Ini semua kita (pemimpin) kena fikir, jadi kena buat perancangan macam-macam saudara-saudara, bukan kerja yang mudah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi dan Kereta Sewa (BKKT) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli. -BERNAMA

