ARTIKEL

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis Anugerah Persatuan Francais Malaysia 2025.

Malaysia sasar RM100 bilion jualan francais menjelang 2030

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Malaysia menetapkan sasaran tinggi untuk mencapai RM100 bilion dalam jualan francais negara menjelang 2030, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sasaran itu mampu dicapai sekiranya industri francais mengekalkan kadar pertumbuhan tahunan antara lapan hingga 10 peratus, di samping giat mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa.

“Lebih banyak jenama Malaysia perlu meneroka pasaran global, dengan mewujudkan kehadiran sekurang-kurangnya di 25 negara dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Persatuan Francais Malaysia (MFA) di sini malam ini.

Beliau berkata Malaysia merancang untuk memacu pengembangan ini melalui cadangan penubuhan ASEAN Franchise Gateway, satu inisiatif strategik yang bertujuan meletakkan negara sebagai landasan untuk pertumbuhan francais di seluruh Asia Tenggara.

Ahmad Zahid berkata ASEAN, dengan gabungan penduduk melebihi 680 juta pengguna dan kelas pertengahan yang berkembang pesat, menawarkan peluang luas kepada jenama Malaysia yang ingin menembusi pasaran serantau dan global.

Ahmad Zahid berkata melalui gerbang itu, Malaysia dapat menjadi pusat sehenti bagi pengantarabangsaan francais dengan menawarkan peraturan yang diperkemas, sokongan perundangan dan harta intelek.

“Selain itu, (negara dapat menawarkan) penyelarasan pensijilan halal, sebagai pemudah cara logistik bersepadu, pembangunan tenaga kerja berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta laluan kemasukan ke pasaran yang lebih pantas,” katanya.

Sebagai pelengkap kepada inisiatif itu, beliau berkata program pengantarabangsaan di bawah Program Pembangunan Francais Dipertingkatkan (EFDP) akan diperkukuh menerusi misi perdagangan yang lebih bersasar ke pasaran keutamaan.

Ahmad Zahid berkata usaha ini akan membantu francais Malaysia menjalin perkongsian strategik, meningkatkan keterlihatan jenama dan memperkukuh kehadiran di luar negara.
“Dengan penyelarasan kawal selia yang kukuh, integrasi ekosistem dan jangkauan antarabangsa yang proaktif, Malaysia dapat mengukuhkan kedudukan sebagai hab francais utama ASEAN dan pintu masuk jenama global dan serantau ke Asia Tenggara,” katanya.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Akademi Francais Negara yang diintegrasikan dengan TVET bagi memberikan tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja yang bersedia untuk bidang francais, penyeragaman kecemerlangan perkhidmatan dan meningkatkan keprofesionalan bakat barisan hadapan untuk menyokong penyampaian jenama yang konsisten.

“Dengan melahirkan pekerja yang berorientasikan pelanggan dan berkeupayaan global, inisiatif ini akan memperkukuh asas ekosistem francais negara dan mempercepat pengembangan jenama Malaysia di dalam dan luar negara,” katanya.

Ahmad Zahid turut menekankan tentang potensi besar francaias halal, dengan menyatakan bahawa Malaysia berada di kedudukan pertama dalam Indikator Ekonomi Islam Global selama 10 tahun berturut-turut.

Beliau berkata ekonomi halal global yang kini bernilai lebih US$3 trilion, diunjurkan mencecah US$5 trilion menjelang 2030, sekali gus membuka peluang transformasi untuk jenama francais Malaysia bersedia untuk berkembang ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata industri pelancongan yang menyumbang sebanyak 15.1 peratus kepada Keluaran Dalam Kasar Negara menjadi satu lagi sektor utama yang berpotensi mendapat manfaat daripada francais.

“Pelancong mencari perkhidmatan yang biasa dan terjamin kualitinya, jenama francais sering menawarkan kebolehpercayaan, konsistensi serta nilai yang mereka harapkan.

“Ketika momentum pelancongan Malaysia terus pulih dan memasuki Tahun Melawat Malaysia 2026, permintaan untuk produk dan perkhidmatan francais merangkumi makanan, runcit, kesejahteraan dan hospitaliti dijangka meningkat dengan lebih kukuh,” katanya.– BERNAMA

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road