MUKAH: Sebanyak 1,088 bakul makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Mukah diagihkan dalam Majlis Penyerahan Bantuan Bakul Makanan kepada kawasan terjejas akibat banjir, di sini, hari ini.
Bantuan tersebut disalurkan kepada 22 rumah panjang dan dua sekolah yang berada di kawasan Kampung Sitieng dan sekitarnya.
Majlis penyerahan ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Inisiatif ini bertujuan meringankan beban penduduk di kawasan berkenaan yang terjejas akibat banjir dan putus jalan utama.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine turut meluangkan masa bersama petugas mengagihkan bantuan kepada mangsa.
Menurutnya, penyaluran bantuan tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penduduk yang terkesan, khususnya apabila bencana banjir menjejaskan pergerakan harian serta bekalan keperluan asas.
“Diharapkan bakul makanan ini dapat memenuhi keperluan asas keluarga terlibat sementara menunggu keadaan kembali pulih sepenuhnya.
“Kerajaan sentiasa peka terhadap keperluan rakyat, lebih-lebih lagi apabila berdepan situasi luar jangka seperti bencana alam.


“Usaha ini antara langkah segera bagi memastikan kebajikan penduduk terpelihara dan mereka tidak terputus daripada bantuan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi terlibat serta sukarelawan yang berganding bahu dalam menjayakan pengagihan bantuan, meskipun berdepan cabaran laluan yang terjejas akibat banjir.


