Mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 1,041 orang hari ini

KUCHING: Gelombang ketiga banjir di Sarawak semakin memburuk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 1,041 orang hari ini berbanding 985 mangsa semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, 1,041 mangsa terdiri daripada 338 keluarga yang dipindahkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS).

Banjir di Sarawak melibatkan empat daerah iaitu Tatau, Simunjan, Samarahan dan Serian.

Daerah Serian paling terjejas banjir dengan 11 PPS dibuka bagi menempatkan 752 mangsa daripada 246 keluarga.

Mangsa banjir di PPS SK Tanah Puteh dan SK St Patricks Tangga di Serian menunjukkan peningkatan manakala yang lain jumlah mangsa masih kekal.

Di daerah Simunjan, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Mesra Simunjan meningkat kepada 94 orang daripada 35 keluarga.

Mangsa banjir yang dipindahkan di tiga PPS masih kekal iaitu Dewan Masyarakat Lubok Buntin (27 orang daripada tujuh keluarga), Dewan Kampung Entangor, Sebuyau (39 orang daripada 16 keluarga) serta Msjid Kampung Seruyuk, Sebuyau (70 orang daripada 19 keluarga).

Di daerah Samarahan pula, dua PPS dibuka di Dewan Suarah (37 mangsa daripada lapan keluarga) dan Dewan Suarah Kampung Bangka Semong (14 orang daripada lima keluarga).

Mangsa banjir di daerah Tatau kekal dengan apabila hanya satu PPS dibuka.

Suara Sarawak