KUCHING: Kesemua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Sarawak susulan bencana banjir sejak 31 Disember lalu dilaporkan ditutup sepenuhnya hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat berikutan situasi banjir yang semakin pulih selain tiada lagi mangsa memerlukan perlindungan di pusat berkenaan.
Tiga PPS yang terlibat di Bahagian Bintulu iaitu Dewan Suarah Bintulu, PPS Dewan Sri Kemena di SMK Sebauh dan PPS Balai Raya Sebauh ditamatkan operasi selepas keadaan kembali pulih.
“PPS Dewan Suarah ditutup sepenuhnya pada jam 1.30 tengah hari manakala PPS Dewan Sri Kemena, SMK Sebauh ditutup pada jam 12.00 tengah hari,” katanya hari ini.
Sekretariat menambah, PPS Balai Raya Sebauh turut ditutup secara rasmi pada jam 4.00 petang tadi.
Susulan penutupan kesemua pusat tersebut, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di seluruh negeri kini dilaporkan sifar.
Untuk rekod, Sarawak mula dilanda banjir sejak 31 Disember lalu akibat hujan berterusan yang mengakibatkan beberapa kawasan terutama di sekitar Kuching dan Bintulu mengalami limpahan air.
Sementara itu, laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi portal Public InfoBanjir sehingga jam 7.30 pagi tadi menunjukkan paras air di stesen Long Teru, Miri dan Nanga Lemai B masih berada pada tahap bahaya.
Hanya stesen Stapang B di Sibu mencatatkan bacaan melepasi paras amaran, manakala sembilan sungai lain kekal pada tahap berjaga-jaga dengan trend penurunan paras air secara berperingkat.

