ARTIKEL

Chua Kuan Ching menyampaikan ceramah pada Bengkel Anti-Gangguan Seksual di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, hari ini.

Mangsa gangguan seksual boleh tuntut pampasan sehingga RM250,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kesedaran tentang peranan Tribunal Anti-Gangguan Seksual (TAGS) harus terus diperluaskan agar mangsa mengetahui saluran aduan yang cepat, mudah dan kos rendah untuk mendapatkan keadilan.

Peguam serta rakan kongsi Messrs Simon Siah, Chua and Chow Advocates, Chua Kuan Ching berkata, sejajar dengan itu, penganjuran Bengkel Anti-Gangguan Seksual dapat meningkatkan kesedaran mengenai hak individu serta kepentingan melaporkan gangguan seksual melalui TAGS.

“TAGS yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) selaras peruntukan Seksyen 3 Akta Anti-Gangguan Seksual 2022 (Akta 840) merupakan antara saluran rasmi bagi mangsa membuat aduan.

“TAGS menyediakan alternatif kepada mahkamah sivil dengan proses yang lebih mesra, cepat, mudah serta kos yang minimum bagi membolehkan mangsa menuntut ganti rugi terhadap pelaku.

“Keputusan juga boleh diperoleh dalam tempoh sekitar 60 hari berbanding proses mahkamah yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada Bengkel Anti-Gangguan Seksual di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, hari ini.

Menurutnya, di bawah tribunal berkenaan, beberapa bentuk award boleh diberikan kepada mangsa termasuk pampasan kewangan sehingga RM250,000, arahan permohonan maaf secara terbuka serta perintah menghadiri sesi kaunseling bagi pelaku.

“Pada masa sama, jika terdapat kes pihak tertentu membuat tuntutan gangguan seksual secara palsu, mana-mana pihak dalam prosiding tribunal boleh, dengan notis kepada pihak lain dan tribunal, memohon di Mahkamah Tinggi untuk mencabar award hanya atas alasan ketidakteraturan serius yang menjejaskan award mengikut Seksyen 23 Akta Anti-Gangguan Seksual 2022,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, mangsa boleh mengemukakan aduan secara fizikal di Kaunter Aduan Tribunal Bagi AntiGangguan Seksual, KPWKM Aras 26, Menara Aras Raya No. 11, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

“Kini, proses pemfailan dalam talian masih dalam pembangunan bagi memudahkan akses terutama bagi mangsa Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun, mangsa juga boleh mendapatkan panduan dengan menghubungi Talian Kasih 15999 untuk mengetahui prosedur membuat aduan,” ujarnya.

Beliau menambah, terdapat beberapa peruntukan undang-undang lain turut relevan termasuk Kanun Keseksaan (Akta 57), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Pindaan Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) 2025 yang memperuntukkan tindakan terhadap gangguan seksual termasuk di tempat kerja.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU