BINTULU: Mangsa kebakaran di Skim Penempatan Semula Uma Bakah, Sungai Asap, Belaga terus mendapat perhatian daripada kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi meringankan bebanan yang mereka tanggung.
Semalam, Harbour-Link Group Berhad menyerahkan sumbangan berupa keperluan dan barangan asas kepada mangsa kebakaran di skim penempatan semula itu.
Sumbangan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut telah disampaikan oleh wakil Harbour-Link Group, Ling Chong Heng kepada Pemanca Tony Kulleh mewakili mangsa kebakaran di balai raya skim penempatan tersebut.

Menurut Ling, sumbangan ini merupakan inisiatif pihaknya bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa kebakaran.
“Walaupun sumbangan ini tidak banyak, tetapi saya yakin ia dapat membantu mangsa terutamanya dari segi penyediaan barang keperluan asas keluarga mereka.
“Saya berharap semua mangsa tabah menghadapi dugaan yang diberikan dan terus berusaha menjalani kehidupan yang baharu,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang pada Khamis lalu, satu blok merangkumi 15 pintu di skim penempatan semula Uma Bakah, Sungai Asap, Belaga musnah terbakar 100 peratus, manakala satu pintu kediaman di Blok E pula musnah 45 peratus.
Kebakaran itu menyebabkan 68 penghuni terdiri daripada 30 individu wanita dewasa, 24 individu lelaki dewasa dan 14 kanak-kanak tinggal sehelai sepinggang, bagaimanapun tiada kecederaan dan kehilangan nyawa berlaku.