Mangsa terbaharu rabies meninggal dunia

KUCHING: Seorang mangsa terbaharu rabies, wanita berusia 61 tahun meninggal dunia semasa dalam rawatan di wad Hospital Umum Sarawak (HUS) pada Rabu lalu, jam 10.47 malam.

Mengesahkan perkara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata mangsa yang berasal dari Pending disahkan jangkitan rabies melalui ujian makmal yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 12 Jun lalu, beberapa jam sebelum dia meninggal dunia.

“Kes ini mempunyai sejarah digigit oleh seekor anjing liar di bahagian ibu jari tangan kanannya pada 29 April lalu.

“Ia berlaku semasa mangsa cuba menghalau anjing tersebut yang sentiasa menyalak kepadanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan KKM itu, mangsa juga dikatakan sudah mencuci luka itu selama lima minit dan terus mendapatkan rawatan di sebuah klinik komuniti berhampiran rumahnya dan diberi temu janji seminggu kemudian.

Bagaimanapun, dia tidak mendapatkan rawatan susulan seperti yang ditetapkan kerana berpendapat bahawa luka pada jarinya sudah sembuh.

Pada 6 Jun, mangsa mula mengalami sakit dan rasa tidak selesa di bahagian lengan tangan kanannya.

Dia kemudian mendapatkan rawatan di HUS pada 8 Jun dan dimasukkan ke Wad Penyakit Berjangkit serta diberikan Rabies immunoglobulin (RIG).

Pada keesokan harinya, dia mengadu loya, pening, susah menelan, sakit kepala, kesukaran untuk menelan air (hydrophobia), tidak selesa di bahagian lengan tangan kanan dan lemah di bahagian bawah badan.

Dengan pengesahan ini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga 12 Jun 2019 adalah 19 kes termasuk 18 kematian.

Daripada 19 kes tersebut, tiga kes dilaporkan pada tahun 2019.

Setakat ini, 62 kawasan di 11 daripada 12 bahagian seluruh Sarawak telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies, kecuali Limbang.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak telah mengeluarkan peringatan kepada semua pengamal perubatan di negeri ini agar memastikan pengurusan kes gigitan haiwan termasuk anjing dijalankan mengikut Panduan Pengurusan Kes Gigitan Haiwan di Sarawak.

Manakala kes gigitan yang berisiko dan gagal mendapatkan rawatan susulan hendaklah dimaklumkan segera kepada pejabat kesihatan berhampiran supaya kes boleh dikesan.