ARTIKEL

Tiga kru yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Zon Bintulu pada Sabtu.

Maritim Malaysia tahan vesel bawa muatan minyak tanpa lesen dan dokumen sah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah vesel yang membawa muatan minyak di kedudukan 9.7 batu nautika ke barat laut Kuala Kemena, petang Sabtu.

Penahanan dilakukan sekitar jam 5.15 petang ketika kapal Maritim Malaysia menjalankan Op Permai 01/2019, Op Naga Timur dan Op Tiris 3.0.

Vesel yang ditahan pada kedudukan 9.7 batu nautika ke barat laut Kuala Kemena, Bintulu, pada Sabtu.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, berkata hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh tiga kru warga negara Indonesia berusia antara 22 hingga 47 tahun.

Beliau berkata mereka ditahan selepas gagal menunjukkan Lesen Perkapalan Saudagar (DSL) dan sebarang dokumen sah yang diperlukan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

“Kru dan vesel tersebut telah dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu untuk tindakan lanjut oleh pihak penyiasat,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Maritim Malaysia turut mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi peraturan sebelum menjalankan sebarang aktiviti di laut.

Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut dengan menghubungi talian kecemasan NG999, atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di 086-314 254, atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432 544.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU