JULAU: Masalah capaian Internet yang masih tidak stabil di beberapa kawasan di Julau perlu ditangani segera bagi memastikan penduduk luar bandar tidak terus berdepan kekangan dalam urusan harian, pendidikan dan perkhidmatan digital.
Itu antara isu penting yang dibangkitkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (DAC) Bilangan 2 di Pejabat Daerah Julau.
ADUN Meluan, Datuk Rolland Duat Jubin berkata, meskipun pelbagai usaha meningkatkan kemudahan komunikasi dilaksanakan, masih terdapat kawasan yang belum menikmati liputan Internet secara konsisten.
“Keadaan ini memerlukan perhatian serta tindakan susulan agensi berkaitan supaya masalah berkenaan dapat diselesaikan secara berperingkat,” katanya kepada media hari ini.
Dalam mesyuarat sama, beliau turut membangkitkan isu kualiti udara susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan ketika ini.
Rolland berkata, pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) perlu diteruskan oleh agensi berkaitan bagi memastikan tahap kualiti udara di Julau sentiasa berada pada paras selamat.
Selain itu, isu bekalan air turut diberi perhatian memandangkan kemudahan asas berkenaan penting bagi menjamin kesejahteraan penduduk.
Mesyuarat turut disertai pelbagai agensi kerajaan bagi menyelaras tindakan dan memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan daerah, khususnya dalam memastikan keperluan rakyat diberi perhatian sewajarnya.

