BINTULU: Masalah tekanan air rendah serta kejadian paip pecah yang kerap berlaku di kawasan Sebauh terus menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk dan menuntut tindakan segera serta menyeluruh daripada pihak berkuasa berkaitan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, isu berkenaan telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Bahagian (DDC) baru-baru ini susulan aduan berterusan yang diterima daripada penduduk setempat.
Menurut beliau, aduan yang diterima melibatkan masalah paip pecah berulang, tekanan air tidak mencukupi, gangguan bekalan air serta kualiti air yang keruh, diibaratkan seperti air “Milo”.
Keadaan tersebut dilaporkan menjadi lebih serius ketika musim perayaan apabila permintaan air meningkat, ujarnya.
“Walaupun pihak agensi berkaitan mendakwa bekalan air di kawasan Sebauh tidak menghadapi masalah, laporan yang diterima oleh pasukan saya menunjukkan aduan daripada penduduk masih berterusan dan tahap ketidakpuasan hati awam semakin meningkat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha meningkatkan tekanan air semata-mata tanpa menaik taraf infrastruktur sokongan hanya akan menyebabkan kejadian paip pecah terus berulang dan gagal menyelesaikan punca sebenar masalah.
Sehubungan itu, Tiong menggesa agar kerja naik taraf serta penggantian saluran paip lama kepada paip berkapasiti lebih besar dilaksanakan segera bagi menangani masalah bekalan air secara menyeluruh dan berjangka panjang.
Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta Jabatan Tanah dan Survei menjalankan siasatan terperinci terhadap dakwaan melibatkan seorang ketua kampung yang disyaki menjual tanah, selain memohon Residen Bahagian meneliti perkara berkenaan dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang.
Beliau juga menegaskan bahawa semua jabatan dan agensi berkaitan perlu menghormati peranan serta tanggungjawab Ahli Parlimen dan wakil rakyat dalam menguruskan hal ehwal berkepentingan rakyat dan kawasan masing-masing.
“Rakyat mahukan tindakan konkrit, bukan sekadar pemantauan berterusan atau penafian. Penduduk Bintulu telah lama berdepan masalah banjir, gangguan bekalan air serta kelemahan penyelarasan antara agensi,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya kelewatan serta tindakan bersifat sambil lewa terus berlaku, keadaan itu hanya akan meningkatkan rasa tidak puas hati rakyat.
Ahli Parlimen Bintulu itu berkata, beliau bersama pasukannya akan terus membawa isu berkenaan ke peringkat Parlimen dan Kerajaan Negeri sehingga satu penyelesaian yang menyeluruh serta berkesan dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat Bintulu.


