MIRI: Pemilik kenderaan Sarawak masih perlu mempamerkan cukai jalan dan lesen memandu fizikal jika memasuki Brunei dan Indonesia.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, langkah itu sebagai mematuhi undang-undang kedua-dua negara berkenaan.
Menurutnya, Brunei dan Indonesia mengekalkan prosedur biasa iaitu cukai jalan fizikal perlu dipamerkan oleh pemilik kenderaan.

“Kementerian saya akan bekerjasama rapat dengan Pejabat Konsul Negara Brunei Darussalam dan Pejabat Konsul Agung Indonesia di Kuching mengenai perkara itu dan juga membawanya dalam Mesyuarat Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengumumkan Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak lagi memerlukan pemandu membawa salinan fizikal lesen selain memaparkan cukai jalan.
Sehubungan itu katanya, pemandu masih boleh mendapatkan salinan fizikal cukai jalan mereka dari pejabat JPJ atau pejabat pos untuk melekatkannya pada kenderaan masing-masing.
Inisiatif yang dilaksanakan kerajaan ini bertujuan menggalakkan orang ramai beralih kepada platform digital untuk membantu mengurangkan barisan panjang di kaunter JPJ.


