Masih ramai tidak guna pelitup muka

MIRI: Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin kecewa dengan sikap segelintir individu yang masih tidak tahu menggunakan pelitup separuh muka dengan betul.

Dalam pemantauan pematuhan SOP di sini pada Selasa, Kim Shin mengakui ada individu yang menggunakan pelitup separuh muka ibarat melepas batuk di tangga.

“Daripada aspek pemakaian pelitup separuh muka, terdapat individu tidak menutup bahagian penting iaitu hidung. Kita memohon mereka lebih berhati-hati dan bersama-sama memerangi pandemik Covid-19,” katanya, semalam.

Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri menegaskan, amat penting penggunaan pelitup separuh muka dengan betul. “Kita juga menggesa Majlis Bandaraya Miri (MBM) memperketatkan pematuhan SOP di tempat makan.

“MBM juga perlu melakukan penambahbaikan ke atas pelaksanaan SOP sedia ada terutamanya di kawasan tumpuan awam seperti Pasar Besar Miri, Pusat Makanan Uniti dan premis makanan di Persiaran Warga Emas Miri,” tegasnya.

Kim Shin menambah antaranya ialah meletakkan garis penjarakkan sosial di meja dan mengehadkan bilangan tempat duduk supaya pengunjung waspada mengenai SOP yang ditetapkan.

Sebelum itu, Kim Shin yang juga Adun Senadin mengadakan lawatan dan tinjauan ke beberapa lokasi untuk memantau pematuhan SOP serta meninjau status projek menaik taraf Pasar Besar Miri.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk bertemu dengan pemilik kedai, premis makan dan minum, penjaja dan orang awam dengan menasihati mereka mematuhi SOP.

Antaranya termasuk menasihatkan orang awam mengamalkan penjarakkan sosial, sentiasa memakai pelitup muka dengan betul dan kerap mencuci tangan. “Orang awam juga dinasihatkan agar elakkan melakukan 3S iaitu (Sesak, Sempit dan Sembang Dekat), amalkan 3W (Wash, Wear, Warn) dan membantu kepada usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” ujarnya.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf, Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang dan Timbalan Ketua Polis Miri, Superintenden Mohd Sabri Zainol.

Suara Sarawak