Masing: Gagal tunai janji punca PH kalah

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing tidak terkejut calon Pakatan Harapan (PH) tewas dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih, Sabtu lalu.

Menurut Presiden PRS itu, pencapaian PH yang lemah antara punca kekalahannya.

PH yang sepatutnya menjalankan amanahnya, ujar beliau,  gagal menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya umum lalu.

Rakyat telah menghukum PH di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila PH kalah berturut-turut di Cameron Highlands dan Semenyih, dan dijangka akan kalah lagi di Rantau.

“Saya tak terkejut PH kalah di Semenyih. Rekod prestasinya yang lemah, manifesto tidak ditunaikan, dan mereka menipu rakyat untuk undi,” katanya ketika diminta komen oleh media semalam.

“Mereka asyik menyalahkan kerajaan terdahulu atas kegagalan menunaikan janji, sedangkan mereka sepatutnya mentadbirkan negara ke arah yang lebih baik,” tegas Masing lagi.

Ujarnya, anggota parti PH perlu menghentikan pergeseran sesama sendiri dan berhenti menyalahkan orang lain.

“Gunakan otak untuk bekerja, bukannya menggunakan mulut sepanjang masa,” sindir pemimpin yang terkenal bercakap berani dan berterus terang itu.

Suara Sarawak