DARO: Masjid Kampung Tebaang di sini yang dibina dengan kos RM5 juta kini memberi manfaat kepada sekitar 1,000 penduduk tempatan dan kawasan berhampiran dengan menyediakan kemudahan rumah ibadat yang lebih selesa serta kondusif.
Masjid berkenaan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini, serta turut berkesempatan menunaikan solat Jumaat berjemaah bersama-sama penduduk setempat.

Kehadiran beliau disambut oleh para jemaah serta kepimpinan tempatan yang turut mengambil peluang untuk beramah mesra dan merakamkan gambar kenangan bersama.
Pembinaan masjid baharu itu bukan sahaja menyediakan ruang ibadat yang lebih selesa kepada penduduk, malah menjadi kemudahan penting kepada masyarakat Islam di kawasan berkenaan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan, pendidikan dan kemasyarakatan.
Projek tersebut melibatkan pembinaan sebuah masjid lengkap kategori XL1 dan mengambil masa selama 23 bulan untuk disiapkan, dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah bertindak sebagai penyelia projek.
Pembinaan masjid di tapak seluas lima ekar itu turut melengkapkan kemudahan sedia ada di kawasan berkenaan, termasuk sebuah dewan serbaguna dan gelanggang futsal yang dibina sebelum ini menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Gabungan kemudahan tersebut sekali gus menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat sehenti bagi aktiviti keagamaan, sosial dan riadah untuk kegunaan penduduk Kampung Tebaang serta masyarakat sekitar.
Pembinaan masjid itu juga merupakan sebahagian daripada pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan dan sosial masyarakat luar bandar, selaras dengan usaha memperkukuh institusi agama sebagai asas pembentukan masyarakat harmoni.
Dengan siapnya masjid berkenaan, ia dijangka menjadi pusat tumpuan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan, selain menjadi wadah memperkukuh ukhuwah serta perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.
Penyediaan kemudahan itu juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan fizikal bergerak seiring dengan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rohani rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak yang mewakili Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr Safiee Ahmad.



