Masjid Daerah Matu jadi penyelamat kereta dari ditenggelami banjir

MUKAH: Masjid Daerah Matu yang terletak 500 meter dari Pekan Matu kini menjadi penyelamat buat kenderaan penduduk di sini, apabila ia digunakan untuk meletakkan kenderaan sejak banjir melanda pada 12 Januari lalu.
Menurut Setiausaha Masjid Daerah Matu Nazzim Bahani, lebih 300 kereta milik penduduk telah diparkirkan di sekitar masjid berkenaan.
“Paras air mula naik pada 13 Januari dan bermula hari itu ramai yang telah parkir di sini kerana penduduk tahu, kawasan masjid ini merupakan antara kawasan yang bertanah tinggi dan luas.
“Sekarang penduduk di tiga buah kampung iaitu Kampung Sekaan Besar, Kampung Jemoreng dan Kampung Bawang masih meletakkan kereta mereka di sini,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.
Bagaimanapun, beliau berkata walaupun sekitar masjid tersebut dipenuhi kereta, namun tiada perkara yang tidak dingini berlaku setakat ini.
“Kita turut dibantu oleh Unit Jawatankuasa Bencana khasnya pihak berkuasa bagi memantau sekitar masjid ini sepanjang banjir,” katanya yang juga seorang Bilal di masjid berkenaan.
Pada kebiasaannya masjid yang terletak di Sekaan Besar Matu ini akan menerima ramai jemaah pada Solat Jumaat, namun tidak pada Jumaat lalu kerana penduduk sukar untuk keluar ekoran tiada pengangkutan untuk ke sana.
Ia juga pertama kali masjid ini menjadi tempat penduduk bergantung untuk meletakkan kereta mereka akibat ditimpa banjir, setelah ia siap pada Jun 2019.

Setiusaha Masjid Daerah Matu, Nazzim Bahani