KAPIT: Masyarakat umum dinasihatkan agar tidak mudah percaya kepada kandungan isu semasa yang ditularkan di media sosial kerana ia boleh menggugat ketenteraman awam.

Menurut Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Watson Awan Jalai, seluruh rakyat menghargai jasa dan perjuangan pemimpin lampau.
Mereka juga ingin mengekalkan kemerdekaan yang telah dikecapi sejak 67 tahun lalu.
“Sebagai warga negara Malaysia, kita sewajarnya bebas dari segi fizikal dan mental tanpa sebarang bentuk penjajahan.
“Kita sentiasa berusaha mengukuhkan silaturahim sebagai tanggungjawab sosial hidup serumpun dalam kepelbagaian etnik.
“Jangan tanya apa yang Malaysia boleh bagi kepada anda, sebaliknya tanya apa yang anda boleh beri pada kemakmuran negara,” ujar Watson.
Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat, untuk menyemarakkan Majlis Sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Tahun 2024 Peringkat Daerah Kapit di Rumah Manok Manchal, Sungai Yong, di sini semalam.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menghormati Perjanjian Malaysia 1963.
Ia adalah kesepaduan sosial yang terpelihara tanpa perlu mempersoalkan tentang sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sarawak mahupun Hari Malaysia.
Perpaduan ini juga jelas sekali ditonjolkan seluruh rakyat Malaysia tempoh hari menerusi Sukan Malaysia (SUKMA) XXI, Sarawak 2024.
Penyatuan bangsa melalui bahasa mengangkat cogan kata “Segulai Sejalai” dan “Agi Idup Agi Ngelaban” dijadikan bualan di seluruh negara.
Konsep hidup rukun di Rumah Manok Manchal, dengan 49 pintu (keluarga) yang hidup bersatu-padu, aman harmoni dan saling menghormati, sesuai untuk dijadikan teladan dan lokasi hentian konvoi KMJG Peringkat Kapit.
Ketua Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak merangkap Ketua Konvoi KMJG 2024, Roszilawati Nor Aziz, menyifatkan program bertemakan patriotik dan aktiviti kenegaraan itu sebagai antara misi utama konvoi pada kali ini.
Tujuannya adalah untuk menyemarakkan rasa cinta kepada negara dan mengajak orang ramai bersama-sama menjaga negara.
“Kita sedar dan maklum, apabila Jalur Gemilang dan lagu-lagu patriotik berkumandang di media elektronik mula dimainkan, ia menandakan kita sedang menyambut Bulan Kebangsaan.
“Maka semangat patriotisme ini perlu dikongsi dengan generasi muda untuk turut sama menghayati makna sebuah kemerdekaan, iaitu ‘segulai sejalai’ mengibarkan Jalur Gemilang selain menyokong kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R 1JG),” sarannya dalam ucapannya.
Selain itu, Roszilawati turut memaklumkan kepada warga Kapit bahawa penyedia perkhidmatan media sosial akan dilesenkan dan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2025 untuk mengekang salah laku di platform media sosial seperti buli siber, jenayah siber dan masalah sosial lain.
JAPEN Daerah Kapit berkampung di Rumah Panjang Manok Manchal selama tiga hari bagi menjayakan Program Jalinan Insan Wahana Inspirasi (JIWA) Komuniti@DUN dan Program JIWA Komuniti@Merdeka.
Ia bertujuan untuk menguar-uarkan maklumat, dasar dan inisiatif kerajaan berteraskan konsep Malaysia MADANI.
Selain itu, ia menyentuh perihal kemerdekaan negara dengan pengisian ceramah oleh pelbagai agensi terlibat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Sejurus tamat program hari ini, rombongan konvoi turut melawat Kubu Sylvia.
Mereka diberi penerangan berkaitan penubuhan kubu, peristiwa penjajahan dan pembentukan keamanan, perdamaian antara kaum serta barangan artifak sejarah, termasuk struktur bangunan, oleh Temenggung Datuk Wilfred Billy Panyau.


