ARTIKEL

Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah pada majlis penghargaan sempena penerbitan dan pelancaran buku mewah Mawar Astana Mekar Di Jiwa di Astana Negeri Sarawak, Kuching, malam tadi.

Mawar Astana Mekar Di Jiwa: Tun Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah hargai pasukan penerbitan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi meraikan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penerbitan serta pelancaran buku mewah Mawar Astana Mekar Di Jiwa pada majlis penghargaan di Astana Negeri Sarawak, di sini, malam tadi.

Majlis berlangsung lebih sejam itu diadakan dalam suasana penuh mesra sebagai tanda penghargaan ke atas sumbangan serta komitmen semua pihak terlibat dalam mendokumentasi dan melancarkan buku yang merakam perjalanan, pengalaman serta sisi kehidupan Toh Puan Fauziah.

Tun Wan Junaidi serta Toh Puan Fauziah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menghasilkan buku berkenaan, khususnya mereka yang mencurahkan idea, masa, tenaga dan kreativiti sepanjang proses penyiapan sehingga naskhah tersebut berjaya dilancarkan.

Penghargaan itu turut mencerminkan bahawa penerbitan sesebuah karya bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya memerlukan semangat kerja berpasukan, ketelitian dan kesungguhan pelbagai pihak untuk merealisasikan sebuah penerbitan yang mempunyai nilai dokumentasi dan sejarah.

Buku mewah Mawar Astana Mekar Di Jiwa diterbitkan oleh Astana Negeri Sarawak ini membawa pembaca menelusuri pelbagai fasa kehidupan Toh Puan Fauziah termasuk dari zaman kanak-kanak, pendidikan, kerjaya, pelibatan dalam kebajikan dan kemasyarakatan sehinggalah kepada peranannya di sisi Yang di-Pertua Negeri.

Naskhah setebal 267 halaman ini turut menghimpunkan kisah yang tidak diketahui umum berkaitan perjalanan hidup Toh Puan Fauziah termasuk pengorbanan terhadap keluarga, kecintaan ilmu serta perjalanan kerjayanya selama 22 tahun sebagai pramugari.

Buku dilancarkan pada 17 Ogos lalu ini merupakan hasil karya pasukan diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan Sarawak Tribune Datuk Dr Jeniri Amir dan Editor Eksekutif Suara Sarawak Rohana Wahed serta dibantu barisan penulis Zarina Abdullah, Natasha Jee, Syamimi Husna dan Prisca Robin.

Lebih istimewa, Mawar Astana Mekar di Jiwa turut diterbitkan dalam bentuk e-buku interaktif yang dilengkapi audio dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi Astana Sarawak, sekali gus memastikan kandungannya dapat dinikmati secara lebih meluas dan mesra peranti.

Penerbitan buku ini sekali gus membolehkan kisah yang selama ini berada di sebalik kehidupan rasmi seorang wanita pertama negeri didokumentasikan untuk tatapan dan rujukan generasi akan datang, selain menjadi sebahagian daripada rekod sejarah institusi Astana Negeri Sarawak.

Naskhah ini turut diharap dapat menjadi inspirasi kepada generasi akan datang untuk memahami perjalanan hidup, keperibadian serta sumbangan Toh Puan Fauziah, selain memperlihatkan bahawa di sebalik kedudukan dan gelaran, terdapat sebuah perjalanan panjang yang dibentuk oleh keluarga, pendidikan, kerjaya, pengalaman, pengorbanan dan nilai kehidupan.

Daripada kisah zaman persekolahan, perjalanan pendidikan serta kerjaya, hinggalah kepada kehidupan selepas menjadi isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, setiap pengalaman beliau memberikan gambaran seorang wanita yang melalui pelbagai fasa kehidupan sebelum berada di kedudukannya hari ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU