KUCHING: Satu mayat lelaki tidak diketahui identiti ditemui dalam sebuah parit berhampiran taman rekreasi kawasan Wisma Bapa Malaysia semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa mengesahkan pihaknya ada menerima laporan kejadian daripada orang awam sekitar jam 10.40 malam.
Susulan itu, katanya, beberapa anggota pasukan polis telah dikerahkan ke lokasi penemuan untuk membuat tindakan siasatan awal.
“Hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati memang terdapat satu mayat lelaki berseluar jeans dijumpai di parit dalam keadaan hampir reput.
“Berdasarkan keadaan mayat itu, kita percaya mangsa telah meninggal dunia melebihi dua hari,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, hasil siasatan tambahan pihaknya juga tidak menjumpai sebarang unsur jenayah di tempat kejadian.
Walaubagaimanapun, katanya, mayat mangsa seterusnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.
Dedahnya, pihaknya kini sedang menunggu keputusan bedah siasat bagi mengesahkan sama ada kejadian terdapat unsur jenayah seperti dibunuh ataupun sebaliknya.
Ujar beliau, setakat ini kes tersebut masih dalam proses siasatan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.
