ARTIKEL

PASUKAN SAR mengangkat mayat di jeti Sungai Batang Lupar, hari ini.

Mayat Warga Emas Akhirnya Ditemui, Polis Klasifikasi Mati Mengejut

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIMANGGANG: Polis mengesahkan mayat yang ditemui di kawasan Pruan, Sungai Batang Lupar tengah hari tadi, merupakan warga emas lelaki berbangsa Cina yang dilaporkan hilang sejak Isnin.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintendan Dennis Bunyam berkata, pengecaman awal ahli keluarga mangsa mengesahkan identiti mayat berkenaan sebagai Celsus Khaw Choon Seng, 63, yang berdomisil di Batu Kawa.

“Kami mengesahkan mayat lelaki yang ditemui dipercayai berkaitan dengan laporan orang hilang pada 5 Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, mayat tersebut berjaya dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 12.10 tengah hari.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian,” tegas Dennis.

Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sri Aman untuk prosedur selanjutnya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.

Sebelum ini, pada hari Isnin, sebuah kenderaan Perodua Alza berwarna putih yang didaftarkan atas nama si mati ditemui terjatuh ke dalam Sungai Batang Lupar berhampiran Jalan Skait.

Mangsa dilaporkan keluar seorang diri dari rumahnya kira-kira pukul 4 petang 4 Januari lalu, menaiki kenderaan berkenaan untuk ke Sri Aman atas urusan peribadi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU