KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mempergiat usaha membanteras aktiviti perniagaan tanpa lesen di bandar raya ini dengan melaksanakan operasi penguatkuasaan Ops Gerai di beberapa kawasan tumpuan awal, baru-baru ini.
Operasi ini mengenal pasti beberapa lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan penjaja tidak berlesen termasuk Tabuan Heights, Bulatan Setia Raja dan perhentian bas berhampiran Rumah Jagaan Warga Emas Lion serta kawasan Tabuan Tranquility 3.
Dalam tindakan bersepadu ini, pegawai penguat kuasa MBKS telah mengambil tindakan terhadap individu yang menjalankan perniagaan tanpa permit sah serta mereka yang beroperasi di lokasi tidak dibenarkan. Beberapa barangan dagangan turut disita bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
MBKS berkata aktiviti penjajaan haram bukan sahaja melanggar peraturan pihak berkuasa tempatan, malah memberi kesan langsung kepada aspek keselamatan dan kesihatan awam.
“Keberadaan gerai tidak sah di bahu jalan dan perhentian bas turut berpotensi mengganggu kelancaran trafik serta pergerakan pejalan kaki.
“Selain itu, pengendalian makanan tanpa pemantauan rapi menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kebersihan, sekali gus boleh menjejaskan kesihatan pengguna serta persekitaran bandar raya,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, operasi kali ini merupakan tindakan penguatkuasaan kedua yang dilaksanakan MBKS pada tahun 2026.

“Ini selaras dengan komitmen berterusan pihak majlis dalam memastikan semua aktiviti perniagaan dijalankan mengikut undang-undang serta di lokasi yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Menjelas lanjut, tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan berdasarkan aduan awam dan pemantauan serta rondaan berkala di lapangan.
“Justeru, pihak majlis turut memberi jaminan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Sehubungan itu, MBKS menyeru semua peniaga agar mendapatkan lesen yang sah sebelum menjalankan perniagaan.
“Sementara itu, orang ramai digalakkan untuk terus bekerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti penjajaan haram bagi membantu mengekalkan persekitaran bandar raya yang bersih, selamat dan teratur,” katanya.


