ARTIKEL

Wee menyerahkan tapak projek menaik taraf infrastruktur Pusat Penjaja Jeti Pending kepada kontraktor dilantik, Olkendu Enterprise.

MBKS beri pengecualian sewa tiga bulan kepada peniaga Pusat Penjaja Jeti Pending

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) memberi pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan kepada peniaga Pusat Penjaja Jeti Pending yang terjejas akibat kerja menaik taraf premis berkenaan.

Wee berdialog dengan sebahagian peniaga di Pusat Penjaja Jeti Pending.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, pengecualian itu mengambil kira gangguan terhadap operasi harian peniaga sepanjang tempoh projek yang dijadualkan berlangsung selama tiga bulan dan siap pada 27 Oktober depan.

Beliau berkata, projek menaik taraf infrastruktur Pusat Penjaja Jeti Pending bernilai RM298,040 termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) itu dibiayai menerusi Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) di Sarawak oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG).

Wee berkata demikian selepas menyerahkan tapak projek menaik taraf infrastruktur Pusat Penjaja Jeti Pending kepada kontraktor dilantik, Olkendu Enterprise, pada Jumaat.

Beliau berkata, kerja menaik taraf itu merangkumi sistem saliran, gerai dan jubin lantai sedia ada, selain penambahbaikan bumbung dan siling, kerja mengecat serta menaik taraf pintu dan tingkap.

Menurutnya, Pusat Penjaja Jeti Pending yang dibina pada 1989 mempunyai 11 gerai berkunci yang menempatkan pelbagai perniagaan termasuk premis penyimpanan sejuk, gerai makanan laut, kedai runcit serta premis makanan dan minuman.

Wee berkata, beberapa kerja penambahbaikan turut dilaksanakan pada 2025 bersempena upacara peringatan penyerahan Jepun pada Perang Dunia Kedua, termasuk pemasangan awning, pembinaan tembok bata rendah di sepanjang laluan pejalan kaki serta pembaikan kecil pada kemasan lantai sedia ada.

Menurut beliau, projek semasa itu meneruskan kerja penambahbaikan yang belum dapat dilaksanakan menerusi program berkenaan pada 2025.

Beliau berkata, usaha menaik taraf pusat penjaja bukan sekadar meningkatkan kemudahan fizikal, malah turut menyokong kelangsungan perniagaan dan ekonomi peniaga tempatan.

Wee turut merakamkan penghargaan kepada KUSKOP, MINTRED dan MPHLG atas sokongan serta pembiayaan bagi menjayakan projek berkenaan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan kontraktor supaya memastikan semua kerja dilaksanakan mengikut spesifikasi ditetapkan dengan memberi perhatian terhadap aspek kualiti dan keselamatan serta disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Projek itu dijangka menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih selamat, bersih dan kondusif kepada peniaga, selain memberi keselesaan kepada pelanggan dan pengunjung apabila siap sepenuhnya kelak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,