KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bertindak pantas menangani isu keselamatan di flat KMC susulan beberapa kes pecah masuk yang dilaporkan sejak awal tahun ini.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, berkata beliau bersama dengan Timbalan Datuk Bandar dan beberapa ahli majlis turun padang ke kawasan berkenaan minggu lalu dan sekali lagi pagi tadi bagi meninjau keadaan.
“Kami bukan sekadar datang melihat, kami membantu penduduk memperkukuh pintu rumah mereka.
“Kami sedang berbincang dengan pihak polis untuk melihat kemungkinan menempatkan pondok rondaan di kawasan tersebut,” katanya pada sidang media Meniti Cakerawala 2.0 di Bilik Komuniti MBKS di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihak MBKS juga akan mengedarkan notis kepada 500 penduduk flat KMC sebagai langkah meningkatkan kesedaran keselamatan.
“Hasil tinjauan kami, terdapat penduduk yang terlupa mengunci pintu atau tingkap, manakala ada juga kes penjenayah masuk melalui tingkap bilik air.
“Kesedaran ini penting kerana walaupun polis dan majlis mengambil langkah pencegahan, peranan penduduk sendiri amat diperlukan,” jelasnya.
Menurut Hong Seng, sepanjang tahun ini, sembilan kes pecah masuk direkodkan di flat KMC, namun hanya empat daripadanya yang dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Ada mangsa yang memilih untuk tidak membuat laporan polis, namun pihak majlis tetap memerlukan maklumat itu bagi mengenal pasti punca dan mengambil langkah pencegahan,” ujarnya.
Mengulas kerugian yang dialami mangsa, beliau berkata jumlahnya kecil, biasanya hanya beberapa puluh ringgit atau barangan bernilai rendah.
“Besar atau kecil jumlahnya, ia tetap satu jenayah.
“Kita tidak mahu kejadian ini berulang, dan kita akan pastikan pihak berkuasa dapat menjejaki pelaku,” katanya
Beliau juga memaklumkan bahawa MBKS akan membantu penduduk yang tidak mampu menanggung kos pengukuhan pintu atau sistem keselamatan rumah.
Datuk Wee turut berharap isu keselamatan ini tidak dipolitikkan dan menyeru semua pihak bekerjasama dalam menjaga keamanan komuniti.



