KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menuntut penjelasan menyeluruh daripada Meta berhubung isu akaun WhatsApp yang digantung atau diakses tanpa kebenaran.
MCMC memaklumkan bahawa sebanyak 92 aduan berkaitan isu tersebut telah diterima oleh pihak mereka setakat ini.
Permintaan rasmi telah dikemukakan kepada Meta pada 25 September diikuti dengan perbincangan bersama syarikat teknologi itu pada 28 September lepas.
Meta telah memohon tempoh sehingga 2 Oktober ini untuk memberikan maklum balas berhubung perkara tersebut, manakala MCMC menggesa penyelesaian segera bagi akaun pengguna yang terjejas seperti dilapor Bernama.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum ini telah meminta MCMC mengeluarkan kenyataan bagi memperjelas maklum balas Meta mengenai isu penggodaman dan penyahaktifan akaun WhatsApp.

