ARTIKEL

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Program Kampung Angkat MADANI di Dewan Raya Felda Bukit Permai, Kulai, Johor, hari ini.

MCMC turunkan 63,652 kandungan berunsurkan penipuan di media sosial

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KULAI, Johor: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan sebanyak 63,652 kandungan berunsur penipuan dalam media sosial pada tahun lepas, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara, berbanding 6,297 kandungan yang diturunkan pada 2023.

Nie Ching berkata, antara penipuan yang dikenal pasti melibatkan kecerdasan buatan (AI) seperti ’deepfake’, menyamar sebagai orang terkenal, video, grafik, dan perkataan.

“Menerusi teknologi AI sekarang, memang sangat mudah untuk buat video ’deepfake’.

“Kita lihat ramai tokoh terkenal telah menjadi mangsa, seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan juga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, baru-baru ini.

“Angka 63,652 (kandungan) adalah besar dan ia berdasarkan aduan yang kami terima … tetapi, saya percaya ada banyak lagi di luar sana.

“Jadi, sangat penting untuk kita mendidik masyarakat agar lebih peka dan prihatin, selalu buat semakan dan jika tidak pasti, jangan kongsi,” katanya ketika menghadiri Program Kampung Angkat MADANI di Dewan Raya FELDA Bukit Permai di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang statistik penipuan di laman sosial, dan ’deepfake’ yang berlaku melibatkan beberapa tokoh terkenal di negara ini.

Nie Ching berkata banyak penipuan berbentuk ’Investment Guru’, seperti yang melibatkan Zeti Akhtar kononnya beliau “berkongsi” pengalaman dan panduan dalam pelaburan yang akhirnya bertujuan memperdaya mangsa sehingga terjerumus ke dalam penipuan pelaburan.

“Sebenarnya itu cara untuk helah orang ramai menyertai kumpulan WhatsApp mereka (penipu) dan akhirnya mereka terkena dan menjadi mangsa dalam penipuan pelaburan kerana angka daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan bahawa penipuan pelaburan ialah ’scam’ yang paling besar,” katanya.

Dalam pada itu, Nie Ching, yang juga Ahli Parlimen Kulai, menyeru penyedia platform dalam talian, seperti TikTok dan META, agar menyemak serta meningkatkan usaha pemantauan, susulan peningkatan kandungan, khususnya penipuan dalam talian melibatkan AI yang memudaratkan.

“Bukan kandungan dijana AI tidak boleh diguna pakai, tetapi kami harap mereka boleh fikir kaedah sekurang-kurangnya letak nota dalam hantaran itu menyatakan bahawa ia merupakan janaan AI.

“Mereka perlu ada satu tanggungjawab untuk pastikan kandungan yang dibuat adalah asli,” katanya.

Sebelum ini, Nie Ching dalam satu hantaran di laman Facebook meminta orang ramai tidak terpedaya dengan penyebaran video palsu ‘deepfake’ berjudul ‘Rahsia Pelaburan Sepanjang Hayat Zeti’ dalam bahasa Mandarin.

Dalam video palsu tersebut, ‘Zeti’ memperkenalkan dirinya sebagai individu yang telah bekerja dalam sektor kewangan selama lebih 40 tahun, membentuk dasar kewangan Malaysia, dan menyaksikan perubahan ekonomi yang ketara.

Video itu mengajak penonton menyertai komuniti dalam talian untuk “belajar dan maju bersama” dengan menawarkan panduan saham dan pandangan ekonomi bagi membantu pengguna memahami bagaimana dasar negara dan perubahan pasaran mempengaruhi pelaburan. – BERNAMA
 

BERITA LAIN

BERITA TERBARU