KUCHING: Mediator Komuniti (MK) merupakan satu alternatif dengan kredibiliti tersendiri yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk mendapatkan pandangan atau bantuan bagi menyelesaikan isu dalam kalangan masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata MK boleh membantu menyelesaikan salah faham berkaitan kejiranan, hubungan kekeluargaan, harta pusaka, keagamaan, alam sekitar, kontrak perjanjian dan lain-lain.

“Di peringkat komuniti, memang kita sudah ada pihak berkuasa seperti ketua kaum, ketua masyarakat, penghulu dan kaunselor di peringkat jabatan untuk menyelesaikan hal-hal berkaitan.
“Jadi, MK menjadi satu lagi pilihan kepada masyarakat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana mereka yang berdepan masalah memerlukan pelbagai pilihan (yang dianggap lebih selesa) untuk berkongsi masalah.
“Dengan wujudnya entiti ini juga, kita dapat membantu menyelesaikan masalah supaya tidak perlu dibawa ke peringkat selanjutnya yang lebih kompleks,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus MK Bersama Agensi (Hari Terbuka MK) di Wisma Wanita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan semula bahawa isu berkaitan adat istiadat sememangnya akan dirujukkan kepada ketua kaum, ketua masyarakat dan setaraf dengannya kerana mereka lebih arif.
“Jadi, orang ramai perlu mengetahui skop yang dikendalikan oleh MK dan apa yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka,” jelasnya.
Sehubungan itu, Fatimah turut memberitahu bahawa seramai 33 daripada 58 MK didapati aktif dan mempunyai kemahiran serta profesionalisme yang diperlukan untuk menguruskan hal berkaitan.
“Kita memuji usaha yang dilakukan oleh entiti ini dan apa yang kita lihat, MK di Samarahan berjaya menyelesaikan empat kes berkaitan kemalangan, kecurian, hutang dan pengasuhan anak-anak.
“Jadi, saya mahu menekankan kepada MK agar membuat dokumentasi terhadap kes yang dikendalikan agar sekiranya kes terpaksa dibawa ke peringkat undang-undang melibatkan polis dan sebagainya, dokumen semua sudah tersedia. Ini penting,” tegasnya.
Sehubungan itu, Fatimah turut menyeru agar MK melibatkan orang muda untuk menyertai entiti tersebut bagi memberi keselesaan kepada remaja lain untuk berkongsi masalah.
“Kita tahu bahawa remaja lebih selesa berkongsi masalah sesama mereka.
“Jadi, kita harap ini dapat diusahakan kerana ia selari dengan inisiatif mesra anak-anak demi mewujudkan bandar mesra anak-anak,” ujarnya.
Dalam pada itu, tambahnya, entiti tersebut juga disarankan untuk membuat jerayawara bagi menonjolkan lagi peranan mereka terhadap masyarakat agar lebih dikenali dalam kalangan komuniti.


