KOTA SAMARAHAN: Mesyuarat penyelarasan antara kementerian dengan agensi berkaitan perlu dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan digital seperti MediRover dan MediDoc dapat disebarluaskan ke seluruh negara dengan lebih berkesan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, pendekatan tersebut membolehkan setiap pihak membentangkan inisiatif dan dasar yang telah dibangunkan serta mengenal pasti langkah untuk memperkukuh pelaksanaannya tanpa berlaku pertindihan usaha.

“Saya cadangkan kita mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Digital, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak terlibat.
“Kementerian-kementerian ini perlu menyelaras inisiatif yang telah dilaksanakan dan bagaimana ia boleh ditambah baik serta memperluas aplikasinya ke seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran MediRover dan MediDoc di Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (HPUNIMAS), di sini hari ini.
Menurutnya, MediRover dan MediDoc merupakan inovasi kesihatan digital yang bertujuan meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan luar bandar Sarawak melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan rangkaian 5G.
Justeru katanya, pelaksanaan inisiatif MediRover dan MediDoc tidak harus terhad di Sarawak sahaja, sebaliknya boleh diperluaskan ke Sabah dan Semenanjung Malaysia khususnya ke kawasan pedalaman.
“Itulah sebab kita menekankan pelibatan Kementerian Digital kerana mereka bertanggungjawab terhadap pendigitalan negara termasuk penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) manakala Kementerian Komunikasi menumpukan usaha kepada capaian rangkaian dan telekomunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan liputan dapat dicapai di kawasan luar bandar.
“Seluruh kementerian jabatan agensi dan universiti perlu digerakkan kerana kepakaran dan sumber manusia di universiti boleh menghasilkan inovasi dan hasil penyelidikan yang seterusnya boleh diterjemahkan kepada aplikasi praktikal di negara kita,” jelasnya.
Sementara itu Ketua Pegawai Inovasi CelcomDigi, Kugan Thirunavakarasu berkata, MediRover telah dilaksanakan di lebih 30 lokasi kurang mendapat akses perkhidmatan kesihatan, memberi manfaat kepada kira-kira 8,000 penduduk Sarawak dengan capaian penuh.
“Projek MediDoc juga telah berjaya dijalankan di Ulu Skrang, Long Busang Belaga dan Lubuk Antu di bawah program KPT Prihatin MADANI membuktikan potensi kesihatan digital di kawasan pedalaman.
“CelcomDigi kini menyediakan liputan 4G dan 5G sehingga 94 peratus di Sarawak, manakala kawasan yang tiada liputan akan diliputi melalui satelit menjadikan gabungan 4G, 5G dan satelit memastikan capaian penuh di seluruh negeri,” ujarnya.


