SINGAPURA: Keterhubungan udara bagi komuniti luar bandar dan pedalaman di Sarawak, Sabah dan Labuan bakal dipertingkatkan susulan kerjasama strategik antara AirBorneo dan pengeluar pesawat ATR bagi memodenkan armada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen syarikat untuk menyediakan perkhidmatan udara yang selamat, boleh dipercayai dan moden kepada komuniti yang dilayani.
“Armada baharu ATR siri-600 ini akan memperkukuh rangkaian RAS dengan menawarkan keselesaan yang dipertingkat, kecekapan lebih tinggi serta keupayaan operasi yang diperlukan bagi keterhubungan serantau di Malaysia Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemeteraian Perjanjian AirBorneo dan ATR yang disaksikan oleh Pengerusi AirBorneo, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Ketua Pegawai Eksekutif ATR, Nathalie Tarnaud Laude, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, platform ATR terbukti sebagai pesawat paling sesuai untuk persekitaran operasi AirBorneo.
“Perjanjian ini melibatkan lapan pesawat ATR, merangkumi lima ATR 72-600 dan tiga ATR 42-600, selain empat hak pembelian bagi pesawat tambahan.
“Justeru, peningkatan kepada siri-600 terkini akan menyokong pertumbuhan jangka panjang syarikat. Penghantaran lapan pesawat ini dijadualkan antara tahun 2027 hingga 2029,” jelasnya.
Tambah beliau, perjanjian ini menandakan pencapaian penting dalam transformasi AirBorneo sebagai syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak serta pengambilalihan tanggungjawab mengendalikan rangkaian RAS.
“RAS merupakan perkhidmatan awam penting yang menghubungkan komuniti terpencil dan kurang mendapat perkhidmatan di seluruh Sarawak, Sabah dan Labuan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pesanan pesawat yang dimuktamadkan pada penghujung 2025 lalu menyokong strategi pembaharuan armada jangka panjang AirBorneo.
“Ini susulan pengambilalihan MASwings oleh Kerajaan Sarawak pada 2025 dan penjenamaan semula syarikat penerbangan itu sebagai AirBorneo.
“Ketika ini, AirBorneo mengendalikan lapan pesawat ATR 72-500 yang diwarisi daripada MASwings,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengenalan pesawat ATR 42-600 dan ATR 72-600 dijangka meningkatkan pengalaman penumpang, kebolehpercayaan operasi serta keupayaan perkhidmatan AirBorneo.
“Pesawat ini dilengkapi sistem avionik canggih, teknologi navigasi moden serta keselesaan kabin yang dipertingkat.
“Ia juga direka untuk menyokong operasi pengangkutan pesakit menggunakan pengusung perubatan serta dioptimumkan bagi operasi yang boleh dipercayai merentasi pelbagai persekitaran laluan serantau dan luar bandar di Borneo,” jelasnya.
Menurut beliau, penggunaan armada campuran itu memberi fleksibiliti lebih besar kepada AirBorneo untuk menyesuaikan kapasiti mengikut profil laluan berbeza, selain memanfaatkan keseragaman kukuh dalam keluarga pesawat ATR.
“Perjanjian ini turut merangkumi empat hak pembelian yang menyediakan pilihan pertumbuhan masa hadapan di luar rangkaian RAS.
“Ini termasuk potensi pengembangan perkhidmatan serantau dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia– Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA),” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ATR, Nathalie Tarnaud Laude berkata keputusan AirBorneo melabur dalam keduadua ATR 72-600 dan ATR 42-600 mencerminkan kekuatan serta kepelbagaian keluarga pesawat ATR dan kesesuaiannya untuk operasi serantau yang mencabar.
“ATR 42-600 dengan kecekapan luar biasa dan kos operasi rendah amat sesuai untuk laluan berketumpatan rendah, manakala ATR 72-600 menyediakan kapasiti tambahan apabila diperlukan.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan AirBorneo dalam memperkukuh keterhubungan udara yang boleh dipercayai di seluruh Borneo dan rantau yang lebih luas,” katanya.
KUCHING: Pengimportan daging khinzir dari negara Thailand dan Brazil telah diluluskan sebagai langkah untuk menampung keperluan bekalan daging khinzir di pasaran tempatan semasa musim perayaan Tahun Baru Cina.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, kelulusan import itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
“Sehubungan itu, para pengimport tempatan boleh merujuk kepada laman sesawang rasmi DVS iaitu https://www.dvs.gov.my/
bagi mendapatkan senarai abatoir yang diluluskan.
“Senarai abatoir yang diluluskan itu melibatkan Brazil (tiga abatoir) dan Thailand (empat abatoir) bagi tujuan pengimportan daging tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Menurut kenyataan itu, semua daging khinzir yang diimport adalah tertakluk kepada pematuhan kawalan keselamatan makanan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan veterinar yang telah ditetapkan.
“Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan rantaian bekalan makanan yang diimport kekal selamat serta mengurangkan risiko penularan penyakit dalam negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut menegaskan bahawa KPKM kekal komited memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara dan melindungi kepentingan pengguna secara berterusan.
“KPKM sentiasa cakna terhadap kecukupan bekalan daging khinzir bagi menampung keperluan tempatan semasa musim perayaan Tahun Baru Cina,” ujarnya.

