ARTIKEL

Tan Jit Kee (kiri) menyerahkan cek sumbangan berjumlah RM51,000 kepada Datuk Wee Hong See (kanan) di Bangunan MBKS, semalam.

Memorial Nan Qiao Ji Gong simbol hargai jasa wira

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pembinaan Memorial Nan Qiao Ji Gong yang bakal dilancarkan pada Mei depan dijangka menjadi simbol penting dalam usaha memelihara sejarah serta menghargai jasa wira berkenaan.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong See berkata, memorial tersebut akan dibina bersebelahan dengan Bangunan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sebagai lokasi yang strategik.

“Memorial Nan Qiao Ji Gong bukan sekadar sebuah struktur fizikal, sebaliknya simbol penghargaan terhadap jasa khidmat Sukarelawan Pemandu dan Mekanik Nanyang dalam tempoh paling mencabar dalam lipatan sejarah.

“Mereka melalui laluan berbahaya bagi membawa bekalan penting serta membaiki kenderaan dalam keadaan sukar, malah ada dalam kalangan mereka yang tidak pulang ke tanah air,” katanya pada majlis penyerahan cek Memorial Nan Qiao Ji Gong di Bangunan MBKS, di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi menegaskan kepentingan pembinaan memorial tersebut bagi memastikan kisah perjuangan wira-wira berkenaan terus dikenang, khususnya oleh generasi muda.

“Ia adalah satu penghormatan kepada keberanian, pengorbanan dan khidmat bakti. Pada masa yang sama, ia juga berperanan mendidik masyarakat serta memperkukuh pemahaman tentang sejarah bersama antara Sarawak, Malaysia dan China,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuching (KCGCCI) menyerahkan sumbangan berjumlah RM51,000 sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif tersebut.

Menurut Hong See, setakat ini sejumlah RM400,000 sumbangan telah berjaya dikumpul daripada sasaran RM500,000 yang diperlukan bagi menampung kos keseluruhan pembinaan memorial berkenaan yang dibiayai melalui sumbangan awam.

Beliau menambah, sumbangan itu mencerminkan komitmen tinggi pihak berkenaan dalam memelihara warisan sejarah dan memperkasa semangat komuniti.

“Ia menunjukkan bahawa melalui kerjasama, kita mampu memastikan kisah-kisah penting ini terus hidup dan tidak dilupakan,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan, Zaiedi Suhaili; Presiden KCGCCI, Tan Jit Kee serta Presiden Institut Penyelidikan Seni dan Budaya Sarawak, David Teng Lung Chi.

Memorial itu dijangka menjadi mercu tanda penting dalam memperingati jasa wira terdahulu, sekali gus menyemai nilai keberanian serta perpaduan dalam kalangan masyarakat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU