ABUZA dan Aban dua sahabat yang baik, berkawan sejak di sekolah menengah lagi pada tahun 1969. Abuza tinggal di bandar raya Kuching sementara Aban tinggal di sebuah kampung pesisiran pantai.
Mereka berdua telah lama berpisah lantaran dengan keluarga masing-masing dan mengikuti pekerjaan yang berbeza. Abuza seorang guru mengajar di salah sebuah sekolah di Bandar iaitu Sekolah Kebangsaan Cempaka Jati, sementara Aban pula bekerja sebagai seorang nelayan.
Masa persekolahan dahulu, Aban seorang yang cerdik dan bijak tetapi malangnya tidak dapat melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi sebab keluarga susah ketika itu dan tidak mampu membiayai persekolahannya.
Dalam suatu pertemuan, Abuza dan Aban bersua kembali. Di suatu majlis pertemuan semula pelajar-pelajar yang menuntut pada tahun 1967 hingga tahun 1969 di Sekolah Menengah Pertiwi Perkasa. Majlis tersebut bermula selepas solat maghrib kira-kira jam 7.30 malam.
Para jemputan dan tetamu jemputan khas sudah hadir ke majlis tersebut. Perhimpunan malam itu, mengikut jadual asal bermula jam 8.00 malam. Tetapi majlis dianjakkan bermula pada 8.10 malam untuk memberi peluang lebih ramai para jemputan hadir. Aban memohon meninggalkan majlis sementara waktu sambil menuju ke sebuah bilik khas.
“Ke mana tu Aban?” tanya Abuza ringkas, sambil memerhati Aban seakan ter gesa-gesa.
“Ke surau sebentar… nak solat,” jawab Aban.
“Aku ikut juga,” Abuza mengikuti Aban ke bilik surau yang ada di Bangunan Ho Boon Thien. Meskipun bangunan itu dipunyai oleh Cina, namun ada satu bilik diubah suai menjadi tempat musala.
Abuza dan Aban solat berjemaah, diimam oleh Aban di bilik surau yang ada di bangunan tersebut. Selepas solat mereka berdua bersalam-salaman.
Semat juga Aban berpesan pada Abuza: “Meskipun banyak aktiviti lain yang kita laksanakan, tetapi utamakan Tuhan.” Abuza menganggukkan kepalanya tanda bersetuju apa-apa yang dimaklum oleh sahabatnya.
“Satu contoh dan amalan yang baik, aku pernah nampak sendiri,” sambung Aban dengan yakin. “Apa dia?” tanya Abuza ringkas.
“Kisah seorang hamba Allah, yang kami sama tunaikan haji di Makkah pada tahun 2015. Semasa tumblingnya kren pada hari Jumaat itu. Ada cerita menyatakan Allahyarhamah Shariffah Roziah salah seorang mangsa ditimpa kren di kawasan Masjidilharam. Wajahnya nampak seakan-akan senyum, walaupun sudah meninggal dunia ketika itu,” jelas Aban.
“Mengapa boleh berlaku macam tu?” tanya Abuza lagi.
“Masa bertugas di sekolah, bila sampai waktu solat, Cikgu Sharifah minta kebenaran pada guru besar untuk ke bilik musala. Dia lakukan setiap kali dan dia tidak pernah meninggalkan waktu solat, dia sendiri yang menetapkan masa bersolat.
Amalan baik mengingati dan mencintai Tuhan sehingga akhir hayatnya. Wajahnya tenang dan nampak bagaikan senyum dan reda kembali menemui Allah Yang Maha Esa.” Cerita Aban, mengingati kita muslimin muslimat untuk sentiasa menepati masa solat dan sentiasa mengingati dan mencintai Tuhan.
Selepas itu, Aban dan Abuza kembali semula ke Majlis Pertemuan Pelajar untuk menikmati jamuan makan malam yang telah sedia dihidangkan di atas meja masing-masing. Mereka sempat berbual-bual mesra bersama-sama rakan sekolah yang sekian lama terpisah berpuluh-puluh tahun yang lampau. Betapa gembiranya Abuza dan Aban berpeluang bertemu dengan rakan-rakan sekolah dahulu yang sekarang ini rata-rata mereka bergejar warga emas dan ada juga rakan-rakan yang terdahulu sudah meninggal dunia dan ada juga yang tidak boleh hadir ke majlis.



