BINTULU: Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom menyifatkan pemergian Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal, semalam (Jumaat) sebagai satu kehilangan besar buat rakyat Sarawak, khususnya masyarakat Dayak, dan negara.
Menurutnya, mendiang merupakan orang Dayak pertama dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara, dan beliau telah menabur bakti kepada negara, khususnya di Sarawak, seawal penglibatannya dalam politik.
“Sesungguhnya pemergian mendiang adalah satu kehilangan yang besar buat negara, terutamanya bagi Sarawak sendiri.
“Diharapkan seluruh keluarga dan kenalan beliau tetap tabah dan sabar dengan kehilangan ini.
“Kita akan meneruskan usaha untuk mencari seorang lagi yang mempunyai kemampuan seperti beliau bagi meneraju atau menjadi ikon kita di Sarawak ini,” katanya ketika ditemui media usai merasmikan program Larian Baton SUKMA XXI Sarawak 2024 di Dewan Suarah Bintulu pada hari ini.
Mutang, 69, meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada 11.46 pagi semalam selepas menerima rawatan di IJN sejurus beliau tiba dari Azerbaijan pada Isnin lepas setelah melakukan lawatan kerja ke negara itu bermula 29 April lalu, dan pulang lebih awal daripada jadual.
Mendiang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sidang Injil Borneo (SIB) Lambir, Miri pada Isnin ini.
Pada 19 Februari lalu, bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara ke-20 untuk menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletak jawatan selepas dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Mendiang Mutang mencipta sejarah apabila beliau yang berasal dari Lawas menjadi pemimpin pertama daripada etnik Lun Bawang untuk menjadi Speaker Dewan Negara.

