ARTIKEL

Kenangan...Dari Kiri, Pensyarah Penasihat GKP 3253 Seminar Pengurusan Seni, UNIMAS, Shaik Azahar Shaik Hussin, Pesara Kerajaan (Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak) Dr. Abang Hut Abang Engkeh, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS Prof Ir Dr Siti Noor Linda Taib dan Dekan, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Louis Ringah Kanyan.

Menelusuri Sejarah Awal Melayu Saribas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Sejarah awal dan perkembangan penempatan masyarakat Melayu Saribas menjadi fokus utama dalam Seminar Warisan Kesultanan Melayu: Sejarah Awal dan Penempatan Melayu Saribas yang berlangsung di Auditorium Muzium Budaya Borneo pada 4 Mei lalu.

Program yang dianjurkan oleh pelajar Tahun 3 Program Pengurusan Seni, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di bawah kursus GKP3253 Seminar Pengurusan Seni itu berjaya menghimpunkan pelajar, akademisi serta masyarakat yang berminat untuk mendalami sejarah dan warisan Melayu di Sarawak.

Para peserta yang juga wartawan dan penulis berpengalaman luas Sarawak, Rudi Affendi Khalik dalam sesi soal jawab.

Seminar yang berlangsung dari 9 pagi hingga 12 tengah hari tersebut merupakan salah satu inisiatif akademik bagi memperkasa pemahaman masyarakat berkaitan sejarah Kesultanan Melayu Saribas, peranan dan kepentingannya dalam pembentukan identiti budaya masyarakat Melayu di negeri ini.

Penganjuran program tersebut turut mencerminkan komitmen UNIMAS dalam memelihara dan memperkenalkan warisan sejarah tempatan kepada generasi muda melalui pendekatan pendidikan yang lebih dekat dengan masyarakat.

Seminar berkenaan menampilkan tokoh akademik dan penyelidik sejarah, Dr. Abang Ismail Abang Julhi, sebagai panel penceramah jemputan.

Beliau berkongsi pelbagai maklumat berkaitan sejarah awal masyarakat Melayu Saribas, perkembangan penempatan mereka serta pengaruh yang dibawa dalam aspek sosial, budaya dan kehidupan masyarakat di kawasan tersebut.

Para peserta yang hadir.

Melalui sesi perkongsian yang berlangsung selama hampir tiga jam, peserta didedahkan kepada asal usul komuniti Melayu Saribas, faktor pembentukan penempatan awal serta perkembangan masyarakat Melayu yang menyumbang kepada pembinaan identiti budaya Sarawak yang unik dan pelbagai.

Selain itu, seminar ini turut memberikan penekanan kepentingan usaha pemeliharaan warisan sejarah dan budaya sebagai khazanah yang perlu dipelihara demi manfaat generasi akan datang.

Perbincangan yang dikemukakan membuka ruang kepada peserta untuk memahami dengan lebih mendalam hubungan antara sejarah dengan warisan dan pembangunan masyarakat masa kini.

Menurut ketua projek, Rosalinda Angi Dana, seminar ini bukan sahaja menjadi platform penyebaran ilmu berkaitan sejarah tempatan, malah berfungsi sebagai medan latihan praktikal kepada pelajar dalam menguruskan program berskala akademik.

“Pelajar turut berpeluang mengaplikasikan kemahiran dalam bidang pengurusan acara, komunikasi profesional, dokumentasi program serta kerjasama berpasukan sepanjang proses penganjuran.

“Antara objektif utama seminar ini ialah meningkatkan kesedaran masyarakat dengan kepentingan memelihara warisan budaya tempatan, memupuk minat generasi muda dengan sejarah dan warisan Melayu Saribas serta mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dengan pakar sejarah dan komuniti setempat,” ujarnya kepada Suara Sarawak.

Program ini jelasnya, turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat yang hadir bagi menimba ilmu dan menyokong usaha pemartabatan warisan Kesultanan Melayu Saribas.

Penganjuran seminar seumpama ini diharapkan dapat terus menjadi wadah yang berkesan dalam memperkukuh penghargaan masyarakat dengan sejarah tempatan, sekali gus memastikan warisan budaya Melayu Saribas terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi masa hadapan.

Foto berkumpulan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU