
JAPRI BUJANG MASLI ialahKetua Pegawai Eksekutif, Pustaka Negeri Sarawak. Berkelulusan Sarjana Muda Sains (Genetik), UKM dan Diploma Lepasan Ijazah Sains Perpustakaan (UiTM), beliau juga merupakan Naib Presiden 1, Persatuan Pustakawan Malaysia serta Ahli Pelopor Offline Internet Consortium. Bidang pengkhususan beliau ialah Pengurusan Perpustakaan, Literasi Maklumat, Biblioterapi, Teknologi Maklumat dan Pengurusan Arkib. Beliau juga meminati bahan bacaan dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, politik, sejarah, sains dan teknologi, astronomi, kesihatan, alam semula jadi dan lain-lain. Beliau telah diundang untuk memberi syarahan sempena Hari Pejuang Bahasa 152 yang diadakan di DBP Cawangan Sarawak pada 15 Februari 2024.
KEMAJUAN dalam bidang teknologi maklumat yang sangat pesat mencabar setiap diri kita untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan supaya mampu memanfaatkannya dalam kehidupan seharian kita.
Semenjak bulan November 2022, apabila ChatGPT mula diperkenalkan kepada khalayak, teknologi kecerdasan buatan (AI) telah mula menyusup ke pelbagai bidang, khususnya pengajaran dan pembelajaran.
Bidang bahasa adalah antara bidang yang paling terkesan dengan kemunculan mesin pintar ini kerana model bahasa besar (large language model) merupakan teras utama kepada teknologi kecerdasan buatan masa kini.
Tidak terkecuali, bahasa kebangsaan kita turut sama terkesan oleh kemunculan teknologi AI ini.
Oleh itu, kefahaman mengenai pengoperasian teknologi AI dan peranannya amat perlu dicapai dalam usaha memastikan kelestarian bahasa kebangsaan terus terjamin seiring dengan arus pemodenan masa kini dan masa hadapan.
KOMPUTER
Komputer adalah suatu mesin yang berfungsi menggunakan asas logika perduaan, iaitu dua situasi buka/tutup arus elektrik, atau logik akal ya/tidak, atau perwakilan angka 0/1.
Dua situasi ini boleh mewakili dua nilai, misalnya buka ataupun tutup. Sistem komputer 2-bit (melibatkan 2 suis) mampu membezakan empat nilai berlainan melalui kombinasi tutup/ tutup, tutup/ buka, buka/ tutup dan buka/ buka.
Bagi mempertingkatkan jumlah perkara yang boleh diwakilinya, sistem komputer 8-bit (melibatkan 8 suis) dibangunkan dengan keupayaan membezakan 256 nilai-nilai yang berlainan.
Teknologi komputer seterusnya telah berkembang kepada 16-bit, 32-bit dan kini mencapai 64-bit. Keupayaan komputer untuk mengendalikan data dan arahan meningkat dengan mendadak melalui sistem 64-bit ini.
Oleh itu, komputer yang pada awalnya hanya mampu mengira (kalkulator) kini sudah boleh mengendalikan nombor, aksara, imej, audio serta video.
Bahkan, lebih daripada itu, teknologi komputer masa kini sudah menjadi semakin interaktif sehingga akhirnya dimarakkan lagi dengan kemunculan teknologi kecerdasan buatan sebagai sebuah trend masa kini dalam keupayaan inovasi teknologi.
Istilah “computer” berasal daripada kata akar “compute” dalam bahasa Inggeris yang bermaksud menghitung.
Jadi, komputer membawa maksud alat untuk menghitung. Pengiraan berasaskan 0 dan 1 ini digelar perduaan.
Bagi sistem 8-bit ada 8 angka 1 (11111111) ataupun 8 angka 0 (00000000) ataupun manamana 8 kombinasi angka 1 dan 0 (11010010)
Terdapat 256 kombinasi berlainan angka 1 dan 0 dalam sistem 8-bit. Sistem 64-bit pula mempunyai lebih daripada 1.8 x 1019 kombinasi yang berlainan.
Aturan ini memberikan keupayaan menyimpan dan mengolah data yang sangat besar kepada komputer.
Maka komputer awal yang hanya memproses nombor seperti kalkulator kemudiannya mula memproses huruf, simbolsimbol, warna, imej, audio, video dan sebagainya, seperti yang telah disebutkan sebelum ini.
Kemajuan ini didukung dan dipacu oleh kemajuan teknologi pemprosesan komputer ataupun CPU (central processing unit) yang mengalami kepesatan dari segi kelajuan sehingga mampu memproses jumlah data yang sangat besar dalam masa yang singkat.
Data ialah perwakilan kepada sesuatu.
Misalnya, 1 kilogram, 1 meter, putih, gembira, laju, sihat dan sebagainya hanyalah mewakili sesuatu.
Biasanya data dikutip hasil daripada pemerhatian, pengukuran, penyelidikan ataupun analisis.
Data secara sendiriannya tidak mengandungi makna yang jelas.
Jika kita diarahkan mengutip data tentang sebatang pokok, maka 5 meter, daun lebar, kayu keras, daun hijau, kulit putih dan lain-lain boleh menjadi data yang mewakili pokok tersebut.
Jika seseorang diberikan data “kulit putih” maka dia tidak akan dapat memahami makna daripada data ini.
Maklumat pula ialah rentetan data yang mempunyai makna.
Misalnya, “pokok itu berkulit putih” mampu memberikan makna kepada seseorang.
Ilmu pula merujuk kepada maklumat yang difahami.
Memahami maksud yang tersirat dalam rentetan data yang mempunyai makna ialah kebolehan seseorang untuk membuat kesimpulan daripada maklumat yang diberikan.
Membuat kesimpulan melibatkan kebolehan menginterpolasikan maklumat sedia ada.
Misalnya, melalui maklumat “umur saya 87 tahun” boleh dibuat kesimpulan bahawa saya sudah tua, saya sudah banyak pengalaman, saya tidak sekuat dahulu dan sebagainya.
Orang yang berilmu tidak hanya menghafal maklumat yang diberikan kepadanya semata-mata.
Sebaliknya, orang yang berilmu akan mampu mengolah dan menerbitkan maklumat baharu yang bersesuaian daripada maklumat yang diterimanya.
Kebijaksanaan merujuk aplikasi ilmu pengetahuan yang tepat dan betul.
Ada ramai ilmuan yang tidak dapat mengaplikasikan ilmu pengetahuannya dengan tepat dan betul.
Kita mampu menilai kebijaksanaan seseorang melalui perbuatan ataupun perkataan mereka.
Kini, hangat perdebatan berkenaan isu kemanusiaan akibat konfl ik di Gaza yang semakin meruncing.
Bahkan, kita mendengar dan melihat pemimpinpemimpin utama dunia memberikan komen masingmasing mengenai konfl ik ini.
Apabila ilmu berkenaan perundangan dan kemanusiaan diaplikasikan bagi menerangkan keperluan untuk menghentikan serangan serta memberikan bantuan segera, maka terserlahlah kebijaksanaan.
Namun, apabila ilmu propaganda dan memutarbelitkan fakta yang diaplikasikan bagi mewajarkan pembunuhan dan kekejaman terhadap orang awam, wanita serta kanak-kanak, maka akan turut terserlahlah kedangkalan.
KECERDASAN BUATAN
Teknologi kecerdasan buatan kini kebanyakannya berasaskan kepada model bahasa besar (large language model).
Selain itu, ia juga menggunakan rangkaian saraf dalam (deep neural network) serta pemprosesan bahasa semula jadi (natural language processing).
Kecerdasan buatan generatif mampu menggunakan data yang terdapat di Internet untuk “belajar” dan seterusnya memberikan output mengikut kebarangkalian statistik apabila digesa (prompted).
Kebolehan ini menjadikan komputer seakan-akan mempunyai kecerdasan seperti manusia kerana keupayaannya untuk bertindak balas seperti manusia.
Cuma, perlu kita ingat bahawa kecerdasan buatan ini dilatih menggunakan ilmu masa lalu yang sedia ada di Internet.
Dalam erti kata lain, kecerdasan buatan setakat ini, tidak mampu menghasilkan output ilmu baharu, tetapi sekadar memuntahkan kembali apa-apa yang pernah “dipelajarinya” menurut analisis kebarangkalian statistik maklumat di Internet semata-mata.
Kecerdasan buatan membuat keputusan berasaskan kekerapan data atau maklumat yang dianalisisnya di Internet. Selain itu, korelasi dan hubung kait data juga diambil kira.
Sekadar contoh, jika perkataan “gender’ kerap dikaitkan dengan lelaki, perempuan, transjantina dan lain-lain, maka perkaitan ini akan mempengaruhi kecenderungan kecerdasan buatan untuk mengambil kira kesemua pilihan perkataan tersebut sebagai kategori gender juga.
Kita sedia maklum bahawa kandungan Internet lebih banyak disumbangkan oleh negara-negara yang memiliki kepadatan penduduk yang tinggi, dengan bilangan pengguna Internet yang jauh lebih ramai.
Keadaan ini amat mempengaruhi kecerdasan buatan.
Kita juga perlu ambil maklum bahawa kebanyakan orang tidak aktif memberikan pendapat atau menyumbang idea dalam perbincangan umum secara sukarela.
Model alam maya Internet yang dipacu oleh nilai komersial juga merupakan faktor utama dalam pembangunan kandungannya.
Pempengaruh media sosial sangat mengambil berat jumlah tontonan, kongsi semula dan komen pengguna.
Oleh itu, mereka kerap menghasilkan kandungan yang mempunyai unsur kontroversi. Hal-hal sebegini akan diambil kira dalam analisis oleh kecerdasan buatan.
Kandungan-kandungan yang dibayar ataupun ditaja dalam Internet turut meningkat dengan mendadak, khususnya yang berkaitan dengan politik dan juga produk serta perkhidmatan komersial.
Kesemua aspek ini akan mempengaruhi kecerdasan buatan dan mempengaruhi proses tindak balasnya apabila digesa oleh pengguna.
BAHASA
Teknologi kecerdasan buatan melalui pemprosesan bahasa semula jadi telah memudahkan pengguna untuk berinteraksi dengan komputer menggunakan bahasa basahan atau pertuturan yang biasa kita gunakan dalam kehidupan seharian.
Tiada lagi keperluan untuk menguasai bahasa pengaturcaraan komputer ataupun menghafal kod-kod tertentu untuk menggesa komputer melakukan sesuatu tugasan. Hal ini turut meliputi bidang bahasa itu sendiri.
Melalui interaksi mudah antara pengguna dengan kecerdasan buatan, teknologi komputer ini boleh digesa untuk menulis esei, cerita, sajak dan pelbagai kerja kesusasteraan yang lain dengan mudah dan pantas.
Walau bagaimanapun, keupayaannya dalam melakukan tugasan dalam bahasa kebangsaan agak terbatas kerana data dalam Internet yang menjadi sumber “pembelajaran”nya lebih banyak didapati dalam bahasa utama global yang lain seperti bahasa Inggeris, Mandarin, Sepanyol, Arab dan Perancis.
Jurang representasi bahasa ini menyebabkan keterbatasan yang ketara apabila kecerdasan buatan digesa melakukan tugasan dalam bahasa yang kurang popular di Internet.
Tambahan pula, kandungan Internet dalam bahasa Indonesia yang lebih banyak berbanding bahasa Malaysia telah mempengaruhi sistem kecerdasan buatan untuk lebih cenderung menggunakan istilah, struktur ayat dan gaya bahasa Indonesia.
Oleh sebab itu, pengguna tempatan perlu lebih berhatihati dalam menerima dan menilai hasil kerja yang dibuat oleh kecerdasan buatan.
Bagi membantu kecerdasan buatan mempertingkatkan penguasaannya dalam bahasa Malaysia, para pejuang bahasa kebangsaan perlulah berinteraksi dengan lebih kerap dengan sistem kecerdasan buatan dan menggunakan bahasa yang betul supaya, seiring dengan peredaran masa, maka kecerdasan buatan akan mempertingkatkan penguasaannya dalam bahasa kebangsaan kita.
Langkah memperbanyak kandungan Internet dalam bahasa kebangsaan yang baik dan betul perlu dipergiat melalui hantaran-hantaran media sosial, pembangunan laman web dan sebagainya supaya kecerdasan buatan boleh memanfaatkan kandungan-kandungan ini bagi memperbaiki tindak balasnya apabila digesa untuk membuat tugasan dalam bahasa kebangsaan kita.
Para pembangun kecerdasan buatan juga berusaha untuk memperbaiki teknologi masing-masing.
Oleh itu, mereka menyediakan kaedah untuk pengguna memberikan maklum balas terhadap jawapan dan hasil kerja yang dilakukan oleh kecerdasan buatan mereka. Kita seharusnya memberikan tindak balas “like” jika jawapan itu betul dan tepat.
Sebaliknya jika salah dan kurang tepat kita harus memberikan maklum balas “dislike”.
Semakin ramai orang yang memberikan maklum balas kepada kecerdasan buatan maka semakin cepat juga ia mempertingkatkan kualiti jawapan yang diberikan.
Peranan kita sebagai pengguna bahasa Malaysia dalam mendepani era kecerdasan buatan adalah untuk lebih tekun menggunakan bahasa yang betul sambil mempertingkatkan produktiviti masing-masing dalam menyumbang kepada kandungan maklumat dalam Internet.
Sesungguhnya bahasa adalah suatu bidang ilmu yang sangat halus sehingga ada orang yang bersedih ataupun gembira hanya kerana pilihan perkataan dan gaya bahasa yang digunakan oleh seseorang.
Semua bidang ilmu yang lain bergantung sepenuhnya kepada bidang bahasa untuk terus berkembang maju.
Sebagai makhluk yang cerdik, manusia bergantung penuh terhadap penguasaan ilmu bahasa yang baik sebelum dapat menguasai bidang ilmu yang lain. Kebergantungan manusia kepada ilmu adalah mutlak.
Kita mesti menguasai ilmu perubatan jika ingin menjadi doktor perubatan yang baik.
Kita juga perlu menguasai ilmu kejuruteraan jika ingin menjadi jurutera yang baik. Maka, bagaimana kita mampu menjadi manusia baik tanpa menguasai ilmu kemanusiaan?
Bagaimana kita mampu menjadi warganegara yang baik tanpa menguasai ilmu kewarganegaraan?
Begitulah seterusnya sehingga tuntutan menuntut ilmu itu menjadi wajib bagi setiap orang yang ingin berjaya dalam apa-apa jua bidang.
KELEBIHAN KECERDASAN BUATAN
Walaupun di peringkat ini, kecerdasan buatan masih dianggap sebagai sesuatu yang belum terserlah kewibawaannya, barangkali di Malaysia, namun jika dimanfaatkan, sebenarnya menyediakan banyak kelebihan dalam membantu usaha kita untuk memartabatkan bahasa kebangsaan seperti: Platform pembelajaran peribadi mengikut kesesuaian individu.
Kecerdasan buatan mempunyai platform pembelajaran yang bersifat adaptif boleh menganalisis data pelajar dan memberikan tugasan yang bersesuaian.
Kecerdasan buatan mampu memberi penilaian dan maklum balas automatik terhadap hasil kerja pelajar.
Bahkan maklum balas ini dijana secara automatik dalam kadar segera yang akan membantu memperbaiki pencapaian pelajar.
Chatbot dan alat pembelajaran bahasa kecerdasan buatan menyediakan latihan bahasa yang mendalam.
Pelajar boleh berinteraksi dengan kecerdasan buatan melalui perbualan selain dapat membetulkan sebutan. Kecerdasan buatan mampu memberikan kosa kata yang sesuai selain menyatakan konteks penggunaannya.
Kecerdasan buatan mampu mengesan serta membetulkan kesalahan tatabahasa sambil memperbaiki kemahiran menulis.
Kecerdasan buatan boleh membuat simulasi perbualan dengan pelajar bagi mempertingkatkan penguasaan komunikasi lisan.
CABARAN KECERDASAN BUATAN
Kewujudan kecerdasan buatan akan terus memberikan cabaran yang besar dan signifi kan terhadap kehidupan manusia seiring dengan usaha peningkatan dan penambahbaikan terhadap teknologi tersebut.
Cabaran yang disebutkan di sini hanyalah sebahagian daripada kekangan kecil teknologi kecerdasan buatan yang, mungkin dalam sedikit masa lagi, akan dapat diatasi dengan perkembangan inovasi semasa.
JURANG REPRESENTASI BAHASA
Kecerdasan buatan kurang menguasai bahasa-bahasa yang kurang digunakan dalam Internet serta boleh memberikan tindak balas yang salah akibat kurang “latihan” dalam bahasa berkenaan.
KETEPATAN DAN SOKONGAN
Walaupun kecerdasan buatan mampu menterjemah banyak bahasa dengan cepat, tetapi isu ketepatan masih menjadi salah satu cabaran. Bahasa yang kurang popular kurang mendapat sokongan teknikal dan hal ini menjejaskan kemajuannya.
PEMULIHARAAN BAHASA DAN KECEKAPAN KECERDASAN BUATAN
Walaupun kecerdasan buatan boleh melakukan tugasan dengan cepat, namun ia masih sukar menguasai kosa kata dan tatabahasa. Kecerdasan buatan boleh menganalisis jumlah data yang besar, namun sukar mengekalkan nuansa sesuatu bahasa.
KESIMPULAN
Kecerdasan buatan mempunyai keupayaan luar biasa dalam membantu interaksi antara manusia dengan komputer sehingga hampir semua orang akan mampu mengarahkan komputer untuk melakukan sesuatu tugasan tanpa perlu mempelajari bahasa pengaturcaraan komputer mahupun menghafal kod-kod tertentu.
Penggunaan bahasa semula jadi yang kita biasa guna seharian sudah mencukupi untuk menggesa kecerdasan buatan melakukan tugasan yang kita inginkan. Hal ini turut meliputi bidang bahasa, namun terdapat kelemahankelemahan yang ketara apabila melibatkan bahasa-bahasa yang kurang dominan di Internet.
Pejuang bahasa kebangsaan perlu mempergiat usaha memperkaya Internet dengan kandungan-kandungan dalam bahasa kebangsaan bagi membantu kecerdasan buatan memperbaiki prestasinya.
Tanggungjawab penutur bahasa Malaysia adalah memanfaatkan penggunaan kecerdasan buatan dalam bahasa kebangsaan supaya ia akan lebih cepat menyesuaikan dirinya dalam menguasai kosa kata serta tatabahasa bahasa kebangsaan.



