KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, menzahirkan penghargaan kepada Penerima Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan dari India, Rabindranath Tagore, dengan berkongsi beberapa hasil karya penting pujangga itu.
Memetik sebaris ayat daripada naskhah tersohor Tagore, ‘Gitanjali’ – “Pride can never approach to where thou walkest in the clothes of the humble among the poorest, and lowliest, and lost” – Chee Keong menyatakan rangkap itu menjadi panduan penting falsafah peribadi dan kementeriannya.
“Rangkap itu menjadi salah satu daripada nilai pembimbing Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) serta diri saya sendiri.
“Sejak pelantikan saya hampir setahun lalu, pada Disember tahun lepas, saya komited untuk memberi tumpuan dan memperkasa kumpulan yang termiskin, terendah dan terpinggir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis ‘Life At Work Awards’ (LAWA) 2024 yang diadakan baru-baru ini, dengan tema ‘Old Malaya’.
Tagore merupakan seorang pujangga, penulis, komposer, ahli falsafah dan pelukis Bengali yang dikenali meluas kerana sumbangannya kepada gerakan kebudayaan Bengal.
Hasil karyanya mempengaruhi dunia kesusasteraan Bengali, juga muzik dan seni India menerusi Contextual Modernism pada lewat kurun ke-19 dan ke-20.
Beliau dinobat sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan pada 1913 dengan menerima pingat emas yang memaparkan imej Alfred Nobel dan hadiah wang.
Chee Keong mengimbau kunjungan Tagore ke Malaya (Malaysia) pada 1927 apabila pujangga itu singgah di Singapura, Muar, Melaka, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Ke mana sahaja beliau pergi, beliau memberi syarahan umum, mengungkap puisi dan diberi sambutan besar-besaran oleh para peminat serta pengikutnya.
“Empat belas tahun sebelum kunjungannya ke Malaya, beliau menjadi orang Asia pertama memenangi Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan,” katanya.
Menurut Chee Keong, “Gitanjali”, koleksi puisi terkemuka Tagore yang membolehkannya dipilih sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan pada 1913, merupakan renungannya tentang kuasa kesusasteraan untuk membentuk peribadi serta kemajuan hubungan masyarakat.
“Saya tidak memahami bahasa Bengali, tetapi ada masa saya mendengar Gitanjali (versi Inggeris) dalam lagu di YouTube. Lirik dan iramanya sungguh indah,” tambahnya. – BERNAMA


