KUCHING: Sempena Ramadan, sebuah syarikat pengendali perkhidmatan makanan di sini, Patimah Mail mengambil langkah menjual juadah kenduri kahwin secara atas talian untuk berbuka puasa.
Inisiatif itu ternyata berkesan dalam menyelamatkan perniagaan mereka yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP.
Pengusahanya Jair Redzuan Mohd Salleh berkata, sambutan menggalakkan sehingga mereka terpaksa mengehadkan tempahan dengan menumpukan penghantaran dalam kawasan Petra Jaya dan Satok sahaja.
“Walaupun jualan cuma 20 peratus, berbanding hari biasa tanpa PKP, sekurang-kurangnya dapat menampung gaji pekerja dan sebagainya,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.
Menurut beliau, masakan berkonsepkan juadah pengilan mengikut dialek tempatan.

“Menu-menu yang ada seperti nasi minyak beras wangi, ayam masak hitam, daging kurma, ikan tongkol sambal, sayur lodeh, umai dan banyak lagi,” katanya.
Selain itu katanya, pencuci mulut juga dibuat sebagai menu tambahan seperti kuih bongkol, bingka Betawi pandan, bingka Betawi gula apong, jeli buah-buahan, bubur pedas dan sebagainya.
“Dalam sehari, kami menghantar tempahan kepada 180 hingga 210 pelanggan,” katanya.
Syarikat Patimah Mail, merupakan antara pengusaha perkhidmatan makanan terkenal dalam menyediakan juadah ‘pengilan’ atau kenduri.
Bagaimanapun Jair berkata, perniagaan mereka terjejas sejak PKP dilaksanakan.
“Semasa PKP, semua acara dan majlis perkahwinan dibatalkan menyebabkan kami tiada jualan.
“Jadi bagi menampung kos yang berjalan dengan gaji pekerja dan lain-lain.
“Kami cuba membuat pendapatan sampingan dengan penghantaran makanan,” katanya yang mempunyai 18 pekerja.



