BINTANGOR: Helah seorang lelaki yang berpura-pura sebagai kakitangan syarikat penghantaran terkenal, bagi menipu orang awam akhirnya terbongkar selepas dia diberkas polis di daerah ini, semalam.
Suspek berusia sekitar 40-an itu ditahan kira-kira pukul 10.50 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Tansli Mering berkata, lelaki tempatan berkenaan dipercayai memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai syarikat kurier dari Melaka.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa terdapat penghantaran barangan terlarang atas nama mangsa.
“Suspek seterusnya mengarahkan mangsa membuat transaksi pemindahan wang kononnya sebagai wang jaminan untuk mengelakkan tindakan undang-undang,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.
Akibat terpengaruh dengan taktik tersebut, mangsa melakukan transaksi sehingga mengalami kerugian berjumlah RM49,850.
Tambah beliau, semakan lanjut mendapati suspek turut dikaitkan dengan satu laporan kes penipuan lain di Serian. Bagaimanapun, pemeriksaan rekod mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan panggilan meragukan dan mendapatkan pengesahan daripada Polis Diraja Malaysia.
Mangsa penipuan boleh menghubungi talian 997 milik National Scam Response Center (NSRC) atau Balai Polis Bintangor di 084-693222 untuk tindakan segera.

