Merpati dua sejoli ditahan lalok

PADAWAN: Sepasang kekasih yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah ditangkap kerana didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata mereka ditahan di dalam sebuah rumah di Kampung Haji Baki, lebih kurang jam 10.30 malam semalam.

“Pemeriksaan badan terhadap kedua-dua suspek tiada menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.

“Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Kota Sentosa untuk tindakan selanjutnya dan selepas menjalani ujian saringan air kencing, kedua-duanya didapati positif dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Aidil, suspek lelaki berusia 37 tahun berasal dari Kota Tinggi, Johor dan kekasihnya berusia 31 tahun dari Jalan Nangka, Batu 10 Matang.

Katanya kedua-dua mereka kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan lokap Balai Polis Beratok.