ARTIKEL

TAHNIAH…David Chong menerima Master Entrepreneur Award 2026, manakala Chong Kia Hoi Realty Sdn. Bhd. dianugerahkan Corporate Excellence Award dan MetroCity menerima Inspirational Brand Award dalam Anugerah APEA 2026.

MetroCity Angkat Model Pembangunan Komuniti Sarawak ke Pentas Asia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Falsafah pembangunan MetroCity yang menekankan pembinaan komuniti sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi mendapat perhatian di peringkat serantau apabila diketengahkan pada Forum Ekonomi Asia 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Chong Kia Hoi Realty Sdn. Bhd., Datuk David Chong, menerusi ucaptama bertajuk ‘Membina Komuniti Ekonomi Asia Masa Depan: Pengajaran daripada Pelan Induk MetroCity’, berkongsi pengalaman pembangunan MetroCity selama 16 tahun sebagai model pembangunan komuniti bersepadu.

“Transformasi ekonomi bukan sekadar membina bangunan yang lebih baik. Ia tentang membina komuniti yang lebih baik,” katanya dalam forum yang menghimpunkan pemimpin perniagaan, usahawan serta pembuat dasar dari seluruh Asia.

Mengulas lanjut, katanya Pelan Induk MetroCity dibangunkan berasaskan konsep ekosistem bersepadu yang menggabungkan elemen kediaman, perniagaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan ruang awam.

Ujarnya, ini adalah bagi mewujudkan persekitaran yang menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Sehubungan itu, katanya, MetroCity yang dilancarkan pada 2011 oleh Chong Kia Hoi Realty Sdn. Bhd. membawa visi untuk membentuk sebuah komuniti yang mampu berkembang seiring perubahan ekonomi.

“Selepas 16 tahun pembangunan, MetroCity kini berkembang sebagai antara pembangunan bersepadu yang mapan di Kuching, dengan kira-kira 106 ekar tanah masih tersedia untuk pembangunan masa hadapan.

“Kawasan ini turut diiktiraf Kerajaan Sarawak sebagai Kawasan Pembangunan Khas yang mempunyai status Daerah Pusat Perniagaan (CBD),” katanya lagi.

Di samping itu, beliau turut menegaskan bahawa, kejayaan sesebuah pembangunan tidak pernah ditentukan oleh jumlah bangunan yang berjaya disiapkan.

Katanya, bangunan mungkin membentuk latar langit sesebuah bandar, tetapi komuniti pula membentuk ekonomi.

Falsafah itu turut diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif komuniti seperti MetroCity Youth Night Market yang diwujudkan bagi memberi ruang kepada usahawan muda memulakan perniagaan.

Inisiatif berkenaan kemudiannya berkembang menjadi antara pasar komuniti yang dikenali di Kuching, sekali gus membuktikan bahawa pembangunan hartanah mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat.

Sementara itu, penyertaan MetroCity di pentas serantau turut disusuli dengan kejayaan menerima tiga pengiktirafan berprestij pada Anugerah Asia Pacific Enterprise Award (APEA) 2026.

Dalam pada itu, David menerima Master Entrepreneur Award 2026, manakala Chong Kia Hoi Realty Sdn. Bhd. dianugerahkan Corporate Excellence Award dan MetroCity menerima Inspirational Brand Award.

Pengiktirafan itu mencerminkan kepimpinan keusahawanan, kecemerlangan korporat serta kekuatan jenama MetroCity.

Tambahnya, dengan baki 106 ekar tanah untuk pembangunan masa hadapan, Pelan Induk MetroCity terus membawa visi yang sama iaitu bukan sekadar membangunkan kawasan bandar, tetapi membentuk komuniti yang membolehkan perniagaan, keluarga dan generasi akan datang terus berkembang maju.

Justeru, bagi Sarawak, pencapaian ini membawa makna yang lebih besar daripada kejayaan individu kerana membuktikan bahawa pembangunan yang dirangka dan dilaksanakan di Kuching mampu menyumbang kepada perbincangan masa depan ekonomi Asia.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU