KOTA SAMARAHAN: Festival Filem Mini (MFF) Ke-22 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadi pentas penting untuk pembikin filem muda mengetengahkan karya kreatif, sekali gus memperkukuh perkembangan industri perfileman Sarawak.
Festival yang berlangsung pada 18 dan 19 Jun ini dianjurkan oleh pelajar Program Sinematografi, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) UNIMAS, dengan menghimpunkan karya filem daripada pelbagai negara.


Penganjuran MFF Ke-22 membuktikan kemampuan generasi muda mengendalikan acara seni bertaraf antarabangsa, selain membuka ruang kepada bakat baharu untuk membina pengalaman dalam industri kreatif.
Pengerusi festival, Nurul Hikmah Begum, berkata MFF yang bermula sebagai platform dalaman untuk pelajar sinematografi kini berkembang menjadi antara acara utama UNIMAS dan dikenali dalam kalangan komuniti pembikin filem di rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, festival ini mula dibuka kepada penyertaan luar sejak tahun ke-15 penganjurannya dan terus menerima sambutan memberangsangkan setiap tahun.
“Tahun ini kami menerima sekitar 600 penyertaan filem pendek dan filem cereka daripada pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Iran, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Brunei.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 37 filem dipilih untuk ditayangkan sepanjang festival berlangsung,” katanya ketika ditemui pada MFF Ke-22 di UNIMAS.
Nurul berkata, edisi kali ini berbeza apabila penganjuran memberi fokus kepada tayangan bukan kompetitif dengan mengetengahkan karya pembikin filem muda daripada pelbagai latar belakang.
Katanya, keistimewaan MFF ialah peluang yang diberikan kepada pembikin filem yang mungkin tidak mempunyai akses kepada peralatan produksi berteknologi tinggi, namun memiliki idea dan jalan cerita yang kuat.
Beliau berkata, platform seperti MFF penting dalam memperkukuh ekosistem perfileman Sarawak kerana ia membuka ruang kepada bakat baharu untuk belajar, berkongsi pengalaman dan membina rangkaian dalam industri kreatif.
Sementara itu, Pengarah Program MFF Ke-22, Eriqshah Hilmi, berkata persiapan festival dimulakan kira-kira tiga bulan sebelum acara berlangsung dengan pelibatan pelajar Program Sinematografi UNIMAS.
Menurut Eriqshah, cabaran terbesar ialah mengurus masa kerana kebanyakan penganjur terdiri daripada pelajar tahun akhir yang perlu mengimbangi komitmen akademik dan tanggungjawab mengurus festival.
Beliau berkata komitmen setiap ahli jawatankuasa memainkan peranan penting dalam memastikan festival dapat dilaksanakan dengan lancar.


