KUCHING: Mia Ghazali dari Rentap Muay Thai cipta kejayaan dengan menewaskan lawannya, Sarah Onca dari Panthera Fight Team, dalam Bout 4 kategori 42kg pada pertandingan Rentap Fighting Championship, Pro International Fight yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Kuching, pada Jumaat.
Mia mempamerkan aksi cemerlang hasil latihan intensif yang dijalani setiap hari, termasuk berlari sejauh 12 kilometer sebagai persediaan menghadapi pertandingan ini.


“Disebabkan saya berlatih bersungguh-sungguh setiap hari, saya dapat memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini.
Saya sangat bersyukur kepada semua yang hadir dan menyokong acara ini,” katanya selepas dinobatkan sebagai pemenang.
Ketika ditanya mengenai rancangan masa depan, Mia menjelaskan bahawa dia kini ingin memberi tumpuan kepada pelajarannya terlebih dahulu.
“Setakat ini, saya belum ada perancangan untuk pertandingan seterusnya.
Mungkin suatu hari nanti saya akan menyertai pertandingan antarabangsa, tetapi buat masa ini saya mengambil langkah perlahan dan fokus kepada satu perkara pada satu masa,” tambahnya.
Menurut Mia, kejayaan kali ini memberikan kelegaan dan kepuasan yang tidak terhingga.
“Saya rasa tekanan sudah hilang, dan saya sangat gembira dengan pencapaian ini,” ujarnya.
Pertandingan ini turut menarik perhatian ramai peminat seni mempertahankan diri tempatan yang hadir untuk memberikan sokongan kepada para peserta.
Selain Mia, tiga lagi wakil dari Sarawak turut mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing.
Antaranya, Chica dari Rentap Muaythai menang dalam saingan semi pro kategori 24-26KG ke atas Bunga Cinta dari Selangor.
Sementara itu, Nurizman (Sting Muaythai) menewaskan pencabar dari Johor, Hasaridzwan yang mewakili Colloseum MMA dalam kategori 57-58KG.
Turut berada dalam senarai pemenang, Mohammad Izzat dari SS Fighters Muaythai berjaya menumpaskan Aiman Buakaw dari Pulau Pinang mewakili Kuda Putih dalam kateogri 60KG.


