KUCHING: Dua warga asing dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana memiliki wang kertas palsu berjumlah RM138,920.
Tertuduh kedua Wawan Riduanto, 31, bekerja sebagai petani dan tertuduh ketiga Emi Diansari, 37, merupakan tukang masak, masing-masing mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dua lagi individu lain didakwa memiliki wang palsu tersebut iaitu 1,200 keping wang palsu RM100, 240 keping wang palsu RM50, 296 keping wang palsu RM20, dan 100 keping wang palsu RM10.
Mereka melakukan kesalahan itu di Jalan Tebedu-Serian, sekitar 4.45 petang, 8 Oktober lepas.
Pendakwaan kes mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 109 Kanun yang sama dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.
Manakala, dua lagi tertuduh lain iaitu tertuduh keempat Hendra, 32, dari Indonesia dan tertuduh pertama Abg Mohammad Firdaus, 29, yang juga merupakan warga tempatan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama.
Mohammad Firdaus yang bekerja sebagai penghantar barang dibenarkan bebas dengan ikat jamin tunai berjumlah RM20,000 beserta dua penjamin tempatan yang beralamat dan bekerja tetap di Sarawak.
Mahkamah menetapkan sebutan semula bagi pengurusan kes untuk Firdaus dan Hendra yang diwakili Peguam Patrick Voon itu pada 13 November depan.
Manakala, Hendra yang bekerja sebagai buruh dilanjutkan reman di Penjara Puncak Borneo sehingga kes selesai.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, semasa pengadu merupakan pegawai polis mengetuai pasukannya menahan dua lelaki iaitu tertuduh pertama dan kedua yang berhenti di bahu jalan menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan menghala ke sempadan Malaysia-Indonesia.
Soal siasat dijalankan mendapati kedua-dua tertuduh hendak berjumpa dengan kawannya (tertuduh keempat) yang berada di kawasan hutan berhampiran lokasi tersebut.
Kedua-dua tertuduh memandu arah pengadu ke lokasi di dalam hutan dan mendapati terdapat tertuduh keempat sedang duduk memegang sebuah beg berwarna biru gelap dan merah.
Pemeriksaan dijalankan ke atas tertuduh keempat dan menjumpai wang kertas Ringgit Malaysia pelbagai nilai disyaki wang kertas palsu.
Tangkapan dan rampasan dilakukan ke atas ketiga-tiga mereka termasuk seorang wanita (tertuduh ketiga) bagi membantu siasatan kes.
Hasil siasatan mendedahkan kesemua mereka didapati memiliki wang palsu pelbagai nilai berjumlah lebih RM138,920.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian dan Asmawi Nur Haqim Mokhtar, manakala Wawan dan Emi tidak diwakili peguam.

