KUALA LUMPUR: MILO, minuman coklat malt berkhasiat terkemuka di Malaysia, meraikan ulang tahun ke-75 yang penuh inspirasi dan bertenaga melalui sambutan Arena Sarapan Juara yang berlangsung di Blue Concourse, Aras Bawah, Sunway Pyramid, bermula Jumaat hingga 2 November ini.
Bertemakan “Dulu, Kini dan Selamanya demi Malaysia”, sambutan itu mengiktiraf legasi MILO sebagai jenama yang membekalkan rakyat Malaysia dengan khasiat serta kebaikan semula jadi daripada barli malt, susu dan koko, sambil mengekalkan rasa ikonik yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.
Dalam satu kenyataan, MILO memaklumkan sambutan tersebut menandakan pencapaian penting jenama itu yang sekian lama menjadi sebahagian daripada rutin harian rakyat Malaysia, dan legasi MILO akan terus berkembang berasaskan tiga tonggak utama yang mendasari perjalanannya iaitu pemakanan, sukan dan kelestarian.
“Acara ini mengajak rakyat Malaysia mengimbau kenangan bersama MILO sambil meneroka hala tuju masa depan dalam aspek pemakanan, sukan dan kelestarian. Pengunjung juga dialu-alukan untuk merasai pengalaman di Zon Sarapan Berkhasiat, menyertai aktiviti MILO Tenaga untuk Kebaikan serta membeli-belah produk eksklusif MILO.
“Sambutan lima hari ini bukan sekadar nostalgia, tetapi juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melihat komitmen berterusan MILO yang kekal teguh dan akan terus berkembang melangkah ke tahun 2026,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, MILO bukan sekadar jenama isi rumah selama 75 tahun tetapi telah menjadi sebahagian daripada rutin pagi penting bagi rakyat Malaysia, dengan setiap cawan memberi tenaga untuk memulakan hari dengan penuh semangat.
“Sebagai minuman coklat malt pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan Logo Pilihan Lebih Sihat, MILO terus menjadi sumber tenaga berkhasiat yang dipercayai. Pencapaian ini membuktikan peranan berterusan MILO dalam menyemarakkan gaya hidup aktif, memperjuangkan kelestarian dan menyokong kemajuan negara — satu cawan pada satu masa,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa sumbangan MILO terhadap pembangunan sukan di Malaysia kekal tiada tandingan dengan melahirkan ramai bakat muda menerusi pelbagai inisiatif di peringkat akar umbi seperti Klinik Juara MILO, MILO Hidup Bola dan Hari Sarapan Malaysia MILO.
“MILO terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan sukan dengan bekerjasama bersama badan sukan kebangsaan bagi memperkukuh penyertaan di peringkat akar umbi serta menggalakkan penglibatan sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Dari generasi ke generasi, atlet telah membesar di bawah naungan MILO — bukti bahawa sukan membentuk sahsiah, disiplin dan semangat komuniti,” menurut MILO.
Selain sukan, MILO turut menegaskan pelaburannya terhadap masa depan lestari menerusi inisiatif Tenaga untuk Kebaikan yang menekankan komitmen terhadap pengeluaran bertanggungjawab, pembungkusan kitar semula dan pendidikan alam sekitar.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan bagi MILO, Nestlé (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen dalam kenyataan sama berkata, sepanjang 75 tahun, MILO telah menjadi sebahagian daripada pertumbuhan Malaysia dalam sukan, sekolah dan komuniti — menjadikan sambutan ulang tahun ini bukan sekadar perayaan tetapi juga permulaan episod baharu dalam perjalanan jenama tersebut.
“Kami akan terus menyemarakkan tenaga generasi masa depan, memperjuangkan gaya hidup aktif serta menerajui usaha ke arah dunia yang lebih hijau dan bertanggungjawab. Walaupun sambutan ini berakhir, misi MILO kekal teguh untuk membekalkan tenaga kepada jasmani, minda dan semangat rakyat Malaysia,” katanya.–BERNAMA



