KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana mencederakan kenalan lelakinya menggunakan sebilah parang gara-gara mahu meminta wang hasil penjualan buah mangga daripada mangsa.
Razali, 45, mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa, lelaki berusia 47 tahun, menggunakan sebilah parang.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Hilir, kira-kira jam 12 tengah hari pada 20 November 2025.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu menerima panggilan daripada isterinya mengenai kehadiran dua lelaki yang dikenalinya di hadapan rumah mereka dan membawa sebilah parang.
Pengadu kemudian terus pulang ke rumah selepas menerima panggilan tersebut.
Isteri pengadu memberitahu bahawa kedua-dua lelaki itu datang bertanyakan wang hasil jualan buah mangga, namun isteri mangsa menafikan perkara tersebut.
Berang dengan jawapan itu, tertuduh bertindak mengamuk dan hendak menyerang pengadu.
Bagaimanapun, pengadu berjaya mengelak serangan dan merampas parang berkenaan, tetapi mengalami luka kecil di bahagian leher dan lutut.
Susulan itu, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut, yang membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari sama.
Laporan perubatan mangsa turut mengesahkan kecederaan luka di leher dan lutut akibat kejadian tersebut.
Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Siti Radhiah Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



