KUCHING: Minuman keras dan rokok disyaki barangan tidak bercukai bernilai RM5.2 juta dirampas dalam tiga operasi berasingan di sekitar Kuching pada 24 Februari lalu.
Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya, berkata, kesemua serbuan dilakukan oleh pasukan Pegawai Kastam Bahagian Penguatkuasaan Unit Operasi Darat Kuching.


“Pada operasi pertama yang dijalankan sekitar 9.30 pagi, sebuah premis di Muara Tabuan Light Industrial Park diserbu dan menemui 69,461.82 liter minuman keras yang disyaki tidak mempunyai kelulusan kastam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, taktik penyembunyian dan penjualan minuman keras di premis tersebut digunakan bagi mengelirukan pihak berkuasa.
Dalam operasi kedua jelas Norizan, pada waktu yang sama, pasukan kastam turut menyerbu sebuah premis di Kenyalang Park, Shopping Centre.


Premis tersebut didapati digunakan untuk menyimpan serta menjalankan aktiviti penjualan rokok dan minuman keras yang disyaki merupakan barangan larangan.
“Pasukan menemui 508,000 batang rokok putih dan pelbagai jenama tanpa setem cukai, serta 14,775.95 liter minuman keras yang disyaki barangan larangan.
“Sejumlah barangan larangan turut ditemui di dalam sebuah lori berkunci yang diletakkan di luar premis,” katanya.
Kes ini masih dalam siasatan, dengan rokok, minuman keras, dan lori tersebut masih ditahan untuk siasatan lanjut, jelas Norizan lagi.
Sementara pada serbuan ketiga, sekitar 10.15 pagi, Norizan memaklumkan, sebuah premis tanpa nama di Batu 13, Jalan Kuching-Serian turut diserbu.


“Hasil pemeriksaan, pasukan menemui 1,263,600 batang rokok putih pelbagai jenama tanpa setem cukai serta 475.20 liter minuman keras yang juga disyaki barangan larangan.
“Kes ini masih dalam siasatan, dan barang-barang tersebut masih ditahan untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Menurut Norizan, rokok dan minuman keras ini tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, yang memerlukan Permit Import untuk pengimportannya.
Ketiga-tiga kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, tambah beliau.
“Jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali”, jelasnya.

