KUCHING: Bandaraya Miri terus menjadi tumpuan peminat sukan tempur jarak dekat apabila menjadi tuan rumah Kejohanan Tinju Terbuka Antarabangsa Sarawak 2026 yang dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Miri dari 23 hingga 28 Jun depan.
Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Dr Rahman Lariwoo berkata 11 buah negara sudah mengesahkan penyertaan mereka untuk kejohanan yang memasuki edisi kelima penganjurannya itu.

Negara terbabit menurut beliau, Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Sri Lanka, Kemboja, Myanmar, India dan Jepun.
“Kita menjangkakan saingan tiga hari itu sengit kerana negeri mahupun negara bertanding menyenaraikan petinju handalan masing-masing.
“Ia termasuk Sarawak yang turut mengetengahkan petinju dari skuad bayangan Sukma,” ujar Rahman kepada Arena Suara Sarawak.
Mengulas lanjut mengenai penganjuran kejohanan itu, Dr Rahman menyatakan bahawa ia merupakan tahun kelima pengelolaan kejohanan itu dan pertama kali berlangsung di Bandaraya Miri yang diharap menjadi titik permulaan kepada peminat tinju dari kawasan utara untuk memajukan sukan berkenaan.
“Kita percaya adanya kejohanan itu dapat mencetus gelombang baharu terhadap sukan tinju berkenaan.
“Sekali gus, dapat menjadi landasan terbaik dalam melahirkan lebih ramai petinju berbakat,” tambah beliau.
Kejohanan tersebut dianjurkan oleh SABA dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Majlis Bandaraya Miri (MBM), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) serta pelbagai agensi berkaitan.

