ARTIKEL

Misi WAK 2026 Jadi Hab Seni Terbesar Asia Tenggara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Festival What About Kuching (WAK) 2026 terus mengukuhkan kedudukannya apabila beralih ke fasa baharu untuk menjadi platform festival akses terbuka serantau yang terkemuka.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkembangan itu mencerminkan evolusi berterusan WAK yang kini semakin menarik minat penggiat seni dan industri kreatif dari dalam serta luar negara.

“WAK yang memasuki edisi kelapan pada 2026 bermula sebagai inisiatif komuniti berskala kecil pada 2017 sebelum berkembang menjadi wadah kreatif yang signifikan di Sarawak.

Seiring kemajuannya, festival tersebut berjaya menghimpunkan pelbagai genre seni dan aktiviti kreatif merangkumi seni visual, muzik, seni persembahan, filem, kraf, kulinari serta gaya hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Panggilan Cadangan Festival WAK 2026 di 11 Ridgeway, Jalan Ong Tiang Swee, di sini hari ini.

Menurut Abdul Karim, semasa pelancaran WAK 2025, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan festival berkenaan sebagai sambutan utama yang meraikan keunikan seni, budaya dan gaya hidup negeri ini.

“Pengiktirafan itu membuktikan peranan WAK sebagai acara ikonik yang mencerminkan identiti rakyat Sarawak yang kreatif, rencam serta berpandangan jauh,” katanya.

Abdul Karim bersama tetamu kehormat lain ketika majlis pelancaran

Tambah beliau, festival tersebut kini menjadi antara acara kreatif yang paling dinantikan dalam kalendar tahunan Sarawak, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkukuh ekosistem industri kreatif tempatan.

“Jika edisi terdahulu menjadi asas pengukuhan WAK, tema Shoots pada tahun ini melambangkan pertumbuhan yang sedang berkembang pesat menerusi kemunculan bakat baharu serta pembentukan pelbagai kolaborasi kreatif.

Ia turut menyaksikan kewujudan lebih banyak perusahaan kreatif baharu selain menandakan lembaran seterusnya dalam evolusi WAK sebagai festival akses terbuka di peringkat serantau,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan penggiat seni dan industri kreatif dari Sarawak, Sabah, Brunei, Singapura, Indonesia serta seluruh Malaysia untuk mengemukakan cadangan program melalui laman sesawang rasmi festival tersebut.

Ujarnya lagi, WAK menyediakan ruang luas kepada pemuzik, artis visual, penggiat seni persembahan, pembikin filem, pengusaha kraf, inovator kulinari, penganjur sukan serta pencipta kandungan untuk mengetengahkan karya mereka.

Dalam pada itu, edisi WAK di Sibu dan Miri dijadualkan berlangsung pada Jun 2026, manakala edisi Kuching akan diadakan sepanjang Oktober tahun yang sama.

Kerajaan Sarawak akan terus memberikan sokongan terhadap penganjuran WAK yang dilihat berperanan penting dalam memupuk pembangunan seni, budaya dan industri kreatif di Bumi Kenyalang.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Morshidi Fredrick serta Timbalannya, Julin Alen.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU