BINTULU: Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG), anak syarikat PETRONAS, melancarkan Program ‘Memacu Kehidupan – Bantuan Bencana’ dalam usaha meringankan beban mangsa banjir di Tatau.
Ia merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berteraskan pembangunan masyarakat dan kesejahteraan untuk penduduk dalam menghadapi bencana alam itu.
MLNG dalam satu kenyataan memberitahu, sumbangan itu bertujuan melancarkan segala operasi pengangkutan air, terutamanya bagi kegunaan dalam Operasi SAR mangsa bot karam di Sungai Sangan.
“Pada masa yang sama, ia juga bertujuan memindahkan mangsa dan menghantar bantuan makanan kepada mangsa yang terputus hubungan,” katanya.
Majlis penyampaian disempurnakan oleh Steven Hwong Lee Kin mewakili MLNG kepada Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Tatau, Calvin Ligong.
Pada majlis yang sama, sebanyak 1,000 liter minyak petrol disumbangkan oleh MLNG kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tatau.
“Sarawak Water Bhd juga menyumbang sebanyak 60 liter minyak petrol,” katanya.
Dalam pada itu, Calvin merakamkan penghargaan kepada MLNG yang melaksanakan program CSR untuk melancarkan segala operasi JPBD Tatau.


